AM

SEMBILAN NEGERI BINA JAMBATAN BAILEY GUNA PERUNTUKAN MARRIS - AHMAD MASLAN

14/07/2024 02:39 PM

PONTIAN, 14 Julai (Bernama) -- Jambatan Bailey akan dibina di sembilan negeri menggunakan peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) bagi menggantikan jambatan rosak khususnya di kawasan luar bandar sebelum jambatan kekal siap dibina.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata pembinaan jambatan itu dianggarkan melibatkan kos antara RM4 hingga RM6 juta setiap satu.

“Sembilan daripada 14 negeri dalam Malaysia telah bersetuju menggunakan peruntukan MARRIS untuk membiayai pembinaan jambatan Bailey yang akan diselenggara Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri yang terlibat,” katanya pada sidang media selepas melawat Projek Jambatan Bailey di Kampung Permatang Sepam di sini hari ini.

Beliau berkata sembilan negeri berkenaan ialah Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Pahang, Perak, Terengganu, Kelantan dan Kedah.

Berhubung Jambatan Bailey di Kampung Permatang Sepam, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata jambatan di Jalan Madirono itu adalah sepanjang 42 meter dengan kelebaran 4.2 meter dan dijangka beroperasi mulai Rabu ini.

Menurut beliau pembinaan itu bertujuan memastikan jalan darat tidak terputus selepas jambatan sedia ada yang sudah berusia lebih 40 tahun mengalami kegagalan struktur sejak 5 Mac lepas akibat peningkatan beban mendatar terhadap tiang jambatan terbabit.

“Di Kampung Permatang Sepam ini kaedah pembinaan jambatan Bailey buat pertama kalinya dibina di sungai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dengan peruntukannya dikongsi kerajaan Pusat dan kerajaan negeri.

“Jambatan sementara ini hanya boleh menampung beban tidak melebihi lima tan bagi menjamin keselamatannya. Papan tanda pemakluman akan dipasang di jambatan Bailey ini apabila siap nanti,” katanya.

Ahmad berkata JKR Pontian telah mencadangkan pembinaan jambatan konkrit baharu sebagai langkah jangka masa panjang bagi memastikan tiada kegagalan struktur berulang.

“Kementerian Kerja Raya menerusi Program MYJalan komited dalam membina, menyedia dan menyelenggara infrastruktur yang selesa dan selamat kepada semua rakyat dalam dan luar bandar,” katanya.

-- BERNAMA


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan