AM

21 PIBG SEKOLAH BANDAR TUN RAZAK TERIMA SUMBANGAN BERJUMLAH RM105,000

14/07/2024 02:30 PM

KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) -- Sebanyak 21 Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah di Parlimen Bandar Tun Razak hari ini masing-masing menerima sumbangan RM5,000 melibatkan jumlah keseluruhan RM105,000. 

Selain itu, sejumlah 730 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 di Parlimen itu turut menerima trofi dan wang tunai pada Program Sumbangan Kepada PIBG dan Apresiasi SPM 2023 Parlimen Bandar Tun Razak.

Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata sumbangan kepada PIBG itu bagi membolehkan mereka menguruskan sebarang kegiatan yang telah dirancang termasuk kegiatan kokurikulum sekolah. 

“Sumbangan kepada anak-anak cemerlang SPM 2023 adalah sebagai galakan kepada mereka bagi meneruskan perjalanan pendidikan masing-masing, di samping meningkatkan kemahiran dan sebagainya untuk perbaiki diri sendiri dan masa depan,” katanya. 

Turut hadir, Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Azman Abidin.

Sementara itu, Azman dalam ucapannya berharap agar guru-guru di Bandar Tun Razak terus menjadi guru cemerlang yang berjaya dan tidak jemu-jemu mendidik dan menjadikan diri ibarat lilin membakar diri untuk menerangi orang lain.

“Saya menyeru kepada semua barisan kepimpinan PIBG sekolah untuk menjadi tulang belakang yang kuat dalam menjadikan sekolah-sekolah di bawah kepimpinan tuan, puan di sekolah hebat seiring dengan matlamat penubuhan PIBG antaranya membantu dalam memajukan perkembangan dan menjaga kebajikan murid serta menjadi saluran komunikasi hubungan antara sekolah dan masyarakat setempat,” katanya.

Pada majlis itu, pelajar cemerlang SPM 2023 yang diraikan antaranya dari Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz dan Sekolah Menengah Sains Alam Shah. 

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan