AM

KPDN LANCAR IHSAN CASHBACK, I-MESRA BANTU KURANGKAN KOS SARA HIDUP

14/07/2024 06:25 PM

IPOH, 14 Julai (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan dua program baharu sektor swasta di bawah Inisiatif Ihsan Rahmah MADANI (IRM) sebagai usaha membantu rakyat mengurangkan beban kos sara hidup.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata program berkenaan iaitu Ihsan Cashback dan i-Mesra juga bertujuan meningkatkan daya saing peniaga tempatan.

"Ihsan Cashback ialah program pulangan tunai e-dompet yang memberi pulangan wang atas pembelian melalui rangkaian rakan kongsi, matlamatnya untuk membantu pengguna menjimatkan perbelanjaan, meningkatkan daya beli dalam ekonomi Malaysia dan mengekalkan sokongan kepada peniaga tempatan," katanya pada prapelancaran inisiatif berkenaan sebelum Majlis Perasmian Penutup Jelajah Karnival KPDN Zon Tengah dan Festival Pengguna 2024 di sini hari ini. 

Beliau berkata i-Mesra pula merupakan platform pengurusan perniagaan digital yang membantu pengusaha perkhidmatan makanan dalam mengurus inventori, memberi rujukan bahan ramuan menyeluruh kepada pengguna, pengurusan kewangan, pemasaran, proses pengesahan digital serta perlindungan liabiliti. 

Program itu, katanya bermatlamat menyokong Perniagaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) terutamanya dalam sektor makanan dan minuman.

"Kedua-dua inisiatif ini diharapkan memberi manfaat kepada pengguna dan peniaga bagi semua sektor dan perkhidmatan di Malaysia. 

"Sektor makanan dan minuman yang menggunakan platform i-Mesra boleh menawarkan promosi khas atau pulangan tunai kepada pengguna yang menggunakan Ihsan Cashback," katanya. 

Beliau berharap gabungan dua inisiatif terbabit dapat membantu pengguna mengurangkan beban kos sara hidup ketika berbelanja harian seterusnya merangsang peniaga tempatan untuk memperluas pasaran mereka selaras inisiatif KPDN di bawah ‘Kempen Beli Barangan Malaysia’.

Jelajah Karnival KPDN Zon Tengah dan Festival Pengguna di Stadium Indera Mulia, di sini bermula Jumaat lepas hingga hari ini telah menarik ribuan pengunjung dengan antara menarik perhatian ialah Jualan Rahmah yang menawarkan jualan barangan keperluan seperti beras dan telur pada harga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran. 

Turut dijual minyak peket 1 kilogram bersubsidi dan barangan segar seperti ayam, ikan, bawang serta gula. 

-- BERNAMA 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan