AM

PM ANWAR LANCAR KEDAIFGV.COM PADA HARI PENEROKA FELDA 2024

14/07/2024 07:40 PM

SERDANG, 14 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan KedaiFGV.com, platform dalam talian milik FGV Holdings Bhd yang menawarkan produk tempatan berkualiti tinggi kepada orang ramai.

Kemudahan itu juga menjadi asas komitmen FGV dalam memastikan bekalan produk makanan berkualiti tinggi dan berkhasiat kekal stabil, terjamin pada harga berpatutan untuk negara selain sejajar dengan visi kumpulan menyampaikan makanan dan produk tani mampan kepada dunia.

Pusat sehenti dalam talian itu menawarkan pilihan komprehensif merangkumi pelbagai jenama makanan FGV seperti Saji, Adela, Seri Pelangi, Gula Prai, Ladang’57 dan Bright Cow.

Majlis pelancaran KedaiFGV.com itu diadakan pada Festival FGV bersempena sambutan Hari Peneroka Felda 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini.

KedaiFGV.com mengetengahkan kemudahan bakul makanan serta pakej khusus pada harga promosi istimewa, sekali gus memberi peluang penjimatan tambahan untuk para pelanggan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Datuk Nazrul Mansor berkata KedaiFGV.com juga merupakan satu titik perubahan bermakna bagi FGV.

“FGV sebagai sebuah syarikat keterjaminan makanan negara, menerapkan inovasi untuk memperkasa rakyat Malaysia dengan akses mudah kepada makanan tempatan berkualiti tinggi.

“Ini tidak hanya meningkatkan aspek kepuasan pelanggan, tetapi turut memperkukuh keterjaminan makanan negara,” katanya dalam kenyataan.

Nazrul juga menyifatkan KedaiFGV.com sebagai langkah pertama dalam visi jangka panjang, membuka laluan bagi kedai fizikal manakala amalan pertanian lestari memastikan masa depan makanan yang terjamin serta makmur untuk generasi akan datang.

Beliau berkata selain diunjur memberi sumbangan hasil yang signifikan tahun ini, KedaiFGV.com juga bersedia untuk muncul sebagai penggerak utama dalam landskap jaminan makanan Malaysia.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan