AM

28 TAHUN LALU BERAKSI DI HERIOT-WATT, KINI NICOL PRO-CANSELOR UNIVERSITI KAMPUS MALAYSIA

15/07/2024 02:09 PM

PUTRAJAYA, 15 Julai (Bernama) -- Dua puluh lapan tahun lalu, bekas ratu skuasy negara Datuk Nicol David merangkul kejuaraan Terbuka Junior Scotland yang berlangsung di Universiti Heriot-Watt di Edinburgh, Scotland.

Peluang beraksi di universiti menandakan titik perubahan penting bagi Nicol, sekali gus mendorong beliau mencapai pelbagai kejayaan luar biasa, termasuk 109 bulan berturut-turut berada pada kedudukan teratas ranking dunia dan lapan kali meraih gelaran juara dunia.

Hari ini, sejarah tercipta, Nicol yang kini berusia 40 tahun, kembali ke Universiti Heriot-Watt, dalam kapasiti yang berbeza.

Nicol, yang telah menggantung raketnya pada 2019, dilantik menjadi Pro-Canselor Universiti Heriot-Watt Malaysia, pada Ahad (14 Julai).

Sebagai Pro-Canselor, Nicol akan berkhidmat sebagai Ketua Kehormat universiti di negara ini, mewakili Universiti Heriot-Watt Malaysia dalam kapasiti istiadat dan duta, termasuk pengurniaan ijazah kepada para graduan.

Nicol mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas pelantikan beliau sebagai Pro-Canselor, sambil menarik pehatian bahawa sejak penubuhannya, institusi tersebut telah memupuk etos keterangkuman dan pendidikan untuk semua.

"Saya sangat bangga menjadi sebahagian daripada tumpuan berterusan untuk memastikan pintu universiti ini sentiasa terbuka untuk semua orang, di Malaysia, United Kingdom, Dubai dan seluruh dunia.

"Saya menyedari bahawa pendekatan universiti terhadap pendidikan berasaskan matlamat ini sangat selaras dengan prinsip saya, dan ini bermakna universiti akan membolehkan pelajar-pelajarnya dilengkapi secara intelektual, emosi, budaya dan etika bagi menggerakkan matlamat mereka ke arah impak positif kepada dunia," katanya semasa ucapan penerimaannya di majlis konvokesyen tahunan, di sini.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu juga berharap untuk memberi inspirasi kepada generasi akan datang melalui peranannya dengan menggalakkan pemimpin masa depan mempercayai bahawa mereka juga boleh mempunyai impian yang ingin dicapai, seperti yang pernah beliau lakukan pada zaman kegemilangannya.

Sehubungan itu, Nicol berkata beliau tidak sabar untuk bekerjasama rapat dengan pihak universiti dalam merangsang cita-cita dan tujuan para pelajar dan kakitangannya untuk memenuhi misinya dalam mendidik dan menjalankan penyelidikan demi kebaikan negara.

"Saya adalah seorang penganjur kemanusiaan dan tujuan saya adalah menggalakkan orang lain berbuat baik dan bersikap rendah diri agar mereka mencapai potensi penuh," katanya.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Heriot-Watt Prof Richard A. Williams, yakin bahawa pelantikan Nicol membawa dimensi baharu dalam kepimpinan komuniti universiti mereka dan akan memberi dorongan kepada pemimpin masa depan.

Prof Mushtak Al-Atabi, Provost dan Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Heriot-Watt Malaysia optimis bahawa pelantikan Nicol itu berupaya membuka jalan untuk mempromosikan sukan di kampus dan mungkin menawarkan biasiswa kepada atlet lelaki dan perempuan Malaysia yang melanjutkan pelajaran di universiti tersebut.

Nicol, yang mengambil alih peranan tersebut pada 17 Mei, menggantikan Prof Tan Sri Dr Jemilah Mahmood.

Majlis konvokesyen semalam menyaksikan seramai 300 graduan daripada pelbagai disiplin menerima skrol masing-masing.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan