AM

TUDUH ANTI-ISLAM, AHLI PARLIMEN PENDANG TIDAK DIBENARKAN HADIR SESI DEWAN TIGA HARI

15/07/2024 02:56 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Ahli Parlimen Pendang daripada Perikatan Nasional Datuk Awang Hashim diarahkan keluar dan tidak dibenarkan menghadiri persidangan Dewan Rakyat selama tiga hari bermula hari ini, susulan kenyataan "anti-Islam" dikeluarkannya terhadap RSN Rayer (PH-Jelutong).

Arahan itu dikeluarkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ramli Mohd Noor susulan Awang enggan menarik semula perkataan dilemparkannya itu.

Ia bermula apabila Rayer bangun mencelah pembentangan Rang Undang-Undang Keterangan (Pindaan) 2024 bagi bacaan kali kedua oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran bagi meminta petua Ramli.

Rayer mempersoalkan peraturan Dewan berkenaan beberapa Ahli Parlimen pembangkang didakwa menghina Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dan menggunakan istilah posmen pada persidangan Khamis lepas.

Selain itu, beliau turut inginkan penjelasan sama ada tindakan beberapa Ahli Parlimen daripada blok Pembangkang termasuk Awang yang mengeluarkan kenyataan "enam jahanam" serta bertindak keluar meninggalkan persidangan Dewan Rakyat pada hari sama, dibenarkan. 

Awang kemudiannya, bangkit mencelah menyifatkan Rayer sebagai “anti-Islam” sehingga mengakibatkan Rayer tidak berpuas hati dan meminta supaya mengarahkan Awang untuk menarik semula kenyataan berkenaan.

"Saya minta beliau tarik balik kenyataan anti-Islam. Itu tak betul. Apa yang saya nyatakan, beliau (Awang) telah menyatakan di dalam Dewan, menjahanamkan enam orang (bekas Ahli Parlimen Bersatu), tapi apa yang beliau nyatakan kepada saya anti-Islam itu tak betul, amat serius," kata Rayer.

Perkara itu turut dipersetujui Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) yang menyifatkan tuduhan dibuat Awang amat serius dan berat.

Ramli kemudian meminta agar Awang menarik balik kenyataan dibuatnya itu.

"Bila dibangkitkan Jelutong dan Bayan Baru, saya rasa ada logiknya. Kita kena harmonikan Dewan ini. Jangan menuduh antara satu sama lain dan jadi tontonan di luar. Adakah ini kita nak tunjukkan kepada masyarakat? Jadi YB (Awang), tarik balik perkataan itu," katanya.

Awang yang diminta untuk menarik semula kenyataan "anti-Islam" bagaimanapun, enggan berbuat demikian selepas tiga kali amaran diberikan oleh Ramli sebelum beliau diarahkan keluar persidangan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan