AM

RUU TIMBANG TARA (PINDAAN) 2024 DIBENTANG DI DEWAN RAKYAT

15/07/2024 03:11 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Rang Undang-Undang Timbang Tara (Pindaan) 2024 bertujuan meningkatkan kedudukan Malaysia dalam komuniti timbang tara antarabangsa dengan menambah baik struktur organisasi Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia, dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Rang undang-undang bagi meminda Akta Timbang Tara 2005 (Akta 646) itu dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Menurut naskhah biru menerusi laman web Parlimen, pindaan terhadap Akta 646 itu selari pelaksanaan Perjanjian Tambahan antara kerajaan Malaysia dengan Pertubuhan Perundingan Undang-Undang Asia-Afrika yang berhubungan dengan Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia di Kuala Lumpur.

Ia juga mencadangkan beberapa seksyen baharu berhubung pembiayaan pihak ketiga antaranya seksyen baharu 46c yang bertujuan mengadakan peruntukan bahawa rukun common law menentang maintenance and champerty hendaklah terhenti terpakai berhubung pembiayaan pihak ketiga bagi timbang tara.

Selain itu, perjanjian pembiayaan pihak ketiga tidak boleh dikira sebagai berlawanan dengan dasar awam atas alasan maintenance and champerty.

“Dengan peruntukan ini, pembiayaan pihak ketiga bagi timbang tara dan prosiding mahkamah yang berkenaan dengan timbang tara tidak lagi dilarang di Malaysia,” menurut naskhah biru itu.

Sementara itu, Azalina turut membentangkan Rang Undang-Undang Pembayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan (Pindaan) 2024 untuk bacaan kali pertama bagi memperuntukkan mengenai perubahan nama Pusat Timbang Tara Serantau Kuala Lumpur (PTSKL) kepada Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan