AM

PERTEMBUNGAN PENDAPAT AMK-PEMUDA UMNO PERKARA BIASA POLITIK ORANG MUDA - AMIRUDIN

15/07/2024 03:48 PM

SHAH ALAM, 15 Julai (Bernama) -- Pertembungan pendapat antara Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Pemuda UMNO berhubung isu politik adalah perkara biasa selagi tidak terkeluar daripada asas kerjasama iaitu menjamin kestabilan dan meneruskan proses pemulihan negara sebagaimana terkandung dalam kerangka Kerajaan Perpaduan.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Amirudin Shari berkata untuk peringkat pemuda, lontaran pandangan berbeza dalam sesuatu isu adalah biasa, mengambil kira peranan sayap parti yang perlu dilihat agresif sebagai barisan hadapan parti masing-masing.

“Untuk peringkat pemuda, ini biasa… pemuda ini perlu agresif, maju, perlu mewakili barisan hadapan parti dan sebagainya.

“Saya yakin kepelbagaian pandangan itu juga satu hikmah yang boleh membawa kebaikan asalkan tidak terkeluar dari asas dan kerangka Kerajaan Perpaduan,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan Watikah Pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tradisi Negeri Selangor Sesi 2024-2025 kepada 373 individu di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Ketua Angkatan Muda Keadilan Adam Adli Abd Halim dan Ketua Pemuda UMNO Dr Akmal Akmal Saleh berbalas kenyataan pasca-Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap dan keputusan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkaitan status kerusi enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong kerajaan.

Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berharap pemimpin muda itu tidak berterusan membincangkan hal dalaman parti secara melampau di pentas terbuka.

“Nak beza pandangan sikit okey, mungkin antara kita ada pandangan berlainan. Itu pun okey tetapi jika ada masa untuk berbincang secara dalaman, berbincanglah secara baik sebab ia hal dalaman parti,” katanya.

Berhubung pelantikan 373 individu selaku Pengerusi JPKK, Amirudin berkata kerajaan negeri berharap mereka terpilih dapat menjadi suara yang membawa maklumat berkaitan perancangan, dasar dan kejayaan negeri kepada makluman masyarakat  peringkat akar umbi di kampung.

Beliau berkata pasukan JPKK yang dibentuk itu juga perlu mengurus hal berkaitan komuniti dan menyalurkan sebarang keperluan penduduk kepada pejabat Pegawai Daerah masing-masing, bagi membolehkan kerajaan merangka program serta projek pembangunan sesuai dengan permintaan di peringkat kampung.

“Kejayaan menguruskan kampung dan komuniti di peringkat akar umbi oleh pasukan JPKK ini akan memberikan impak baik dan positif kepada imej kerajaan negeri yang boleh menjadi kayu ukur sokongan rakyat terhadap kerajaan sedia ada,” katanya.

Tempoh perkhidmatan JPKK tersebut berkuat kuasa 1 Julai 2024 hingga 31 Disember 2025.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan