AM

KEMENTERIAN PENGANGKUTAN GIAT TAMBAH BAIK KEMUDAHAN PERHENTIAN BAS

15/07/2024 06:06 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan memperhebat usaha untuk menambah baik kemudahan pengangkutan awam dan mesra pejalan kaki di Kuala Lumpur, khususnya perhentian dan stesen bas.

Menteri berkenaan Anthony Loke berkata banyak perhentian bas di bandar raya ini kekurangan infrastruktur, malah ada yang mempunyai satu tiang sahaja.

"Justeru, kami bercadang untuk menaik taraf perhentian bas ini kepada kemudahan yang lebih baik dan telah memohon lokasi untuk tujuan ini serta berhasrat menjalinkan kerjasama dengan sektor swasta," katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JKMKKJR) di Pusat Info Trafik dan Kawalan Lampu Isyarat (KLC3) di sini hari ini.

Loke berkata Kementerian Pengangkutan menggalakkan pihak berkuasa tempatan untuk bekerjasama dengan sektor swasta, dengan menawarkan insentif hak pengiklanan di perhentian bas kepada syarikat yang ingin menaja kemudahan itu.

"Sebaik sahaja kita memiliki perhentian dan stesen bas yang sempurna, penggunaan bas sudah pasti akan meningkat.

"Selain itu, kita juga meningkatkan bilangan bas dan merancang untuk mengguna pakai kenderaan elektrik (EV) pada tahun-tahun akan datang," katanya.

Sementara itu, Loke berkata kerajaan Malaysia tetap teguh dan komited untuk meneruskan tindakan undang-undang di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Belanda terhadap mereka yang bertanggungjawab dalam tragedi pesawat Malaysia Airlines MH17.

“Ya, memang dari segi tindakan undang-undang di peringkat antarabangsa akan diteruskan dan Malaysia bersama-sama dengan negara-negara terlibat," katanya.

Pada 17 Julai ini, menandakan ulang tahun ke-10 nahas MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada 2014 sehingga meragut nyawa kesemua 298 penumpang dan kru, termasuk 80 kanak-kanak.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan