AM

KERAJAAN PERHALUSI CADANGAN WUJUD PERUNTUKAN KESALAHAN BULI SIBER

15/07/2024 06:07 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Kerajaan sedang memperhalusi cadangan semua pihak termasuk ahli akademik berhubung peruntukan khusus bagi kesalahan buli siber.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran berkata tindakan tegas perlu diambil terhadap kes sedemikian seperti didakwa menjadi punca kematian pempengaruh TikTok A. Rajeswary atau lebih dikenali Esha, baru-baru ini.

Beliau turut berharap siasatan mendalam mengenai kes itu dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kulasegaran berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Sumpah dan Ikrar (Pindaan) 2024 yang kemudiannya diluluskan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau turut berkongsi pengalaman menjadi mangsa buli siber susulan satu video dimuat naik di TikTok yang mengaitkannya dengan seorang wanita muda.

Kulasegaran berkata beliau dan isteri menerima video berkenaan pada hujung minggu lalu antaranya menuduhnya tidak tahu malu kerana bersama wanita muda.

“Tapi dia tak tahu perempuan muda itu isteri saya...ini secara tidak langsung buli siber tetapi isteri saya mengatakan dia amat sedih (dengan tuduhan itu).

“Pada pandangan saya ahli politik, kami mempunyai daya ketahanan yang lebih tinggi (terhadap buli siber) tetapi untuk Puan Rajeswary, ia sangat tidak adil,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Esha ditemukan meninggal dunia di sebuah unit kediaman di sebuah kondominium di Setapak pada 5 Julai, sehari selepas membuat satu laporan polis berhubung buli siber yang dihadapinya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan