AM

HANYA 300 MOHON JAWATAN JURUBAHASA MAHKAMAH DARIPADA 1,000 YANG DIIKLANKAN

15/07/2024 06:36 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Kerajaan akan memperhalusi isu pangkat dan gaji jurubahasa di mahkamah yang menjadi antara punca perjawatan berkenaan kurang mendapat sambutan. 

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran berkata beliau dimaklumkan terdapat 1,000 jawatan jurubahasa diiklankan tahun ini, namun hanya 300 yang memohon.

“Kekurangan permohonan itu antaranya disebabkan oleh tugasan multitugas yang perlu dilaksanakan di mahkamah, selain gaji yang tidak munasabah,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Sumpah dan Ikrar (Pindaan) 2024 sebelum ia diluluskan Dewan Rakyat hari ini.

Kulasegaran berkata beliau telah memberikan cadangan kepada pegawai-pegawainya supaya mengadakan perjumpaan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam bagi membincangkan perkara itu.

“Sekarang L19 mungkin dinaikkan kepada L22 dan sebagainya dengan memperolehi diploma.

“Masalahnya ramai jurubahasa ada ijazah, kalau dia dinaikkan gaji setaraf ijazah, dia akan seimbang dengan Majistret pula, jadi saya kata jangan hukum mereka yang layak, kita mungkin boleh tingkatkan gaji Majistret dan sebagainya,” katanya.

 Kulasegaran berkata kekurangan jurubahasa itu juga menjadi antara sebab kebanyakan kes tertunda di mahkamah.

Dalam pada itu Dewan Rakyat turut meluluskan Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2024, Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Pindaan) 2024 dan Rang Undang-Undang Angkatan Tentera (Pindaan) 2024 yang berkaitan perundangan kanak-kanak. 

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan