EKONOMI

FIRMA MALAYSIA PERLU TINGKATKAN KESELAMATAN SIBER TANGANI ANCAMAN DALAM TALIAN, LUAR TALIAN

15/07/2024 07:24 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Kaspersky, syarikat keselamatan siber dan privasi digital global memberi amaran bahawa perniagaan di Malaysia amat perlu meningkatkan keselamatan siber mereka terhadap ancaman dalam talian dan di luar talian yang semakin meningkat.

Pengurus Besar Kaspersky Asia Tenggara Yeo Siang Tiong berkata banyak syarikat di Malaysia tidak melihat kepentingan untuk melabur dalam keselamatan siber.

Katanya kekurangan fokus dan perhatian terhadap perlindungan keselamatan yang kukuh menjadikan syarikat terdedah kepada ancaman siber, terutamanya bagi mereka yang mempunyai pengaturan kerja secara hibrid dan jarak jauh.

"Ini boleh menyebabkan kerosakan reputasi dan kewangan yang mahal sekiranya berlaku serangan besar," kata Yeo dalam satu kenyataan hari ini.

Penyelesaian keselamatan Kaspersky, yang dikenali sebagai Kaspersky Business Solutions telah menyekat 2.5 juta ancaman tempatan yang menyasarkan perniagaan di Malaysia tahun lalu.

"Malaysia terus menyaksikan sejumlah besar serangan, dengan purata lebih daripada seribu serangan sehari," katanya sambil menambah bahawa syarikat-syarikat Malaysia perlu terus mengutamakan keselamatan siber.

Sehubungan itu, Kaspersky mengesyorkan agar perniagaan terus melawan serangan siber walaupun memiliki kakitangan keselamatan siber yang terhad dengan menaik taraf penyelesaian keselamatan siber.

Perniagaan juga harus memastikan dan menjamin infrastruktur bersepadu mereka dengan produk-produk keselamatan siber kerana banyak penyelesaian kecerdasan buatan (AI) dibina di atas pakej perisian standard, kata Kaspersky.

Katanya perisian dan persekitaran yang diperlukan untuk membangun, menguji, dan menggunakan model AI dimasukkan ke dalam pakej perisian standard, yang merupakan unit perisian yang ringan, mudah alih, dan mencukupi yang merangkumi semua yang diperlukan untuk menjalankan sesuatu perisian.

Kaspersky menambah perniagaan juga harus melatih dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja, mengamalkan prinsip selamat melalui reka bentuk dan mematuhi peraturan untuk mengelakkan masalah undang-undang atau kerosakan reputasi, dengan memastikan amalan keselamatan siber mereka memenuhi piawaian dan keperluan undang-undang yang berubah.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan