AM

ISU PARALLEL PATHWAY : KKM TIDAK PERNAH BERAT SEBELAH - DR DZULKEFLY

15/07/2024 08:24 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) tidak pernah bersikap berat sebelah dalam mengiktiraf program latihan kepakaran sarjana perubatan dalam negara dengan Parallel Pathway, termasuk dalam soal penajaan program berkenaan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata perkara itu dapat dibuktikan apabila pada tahun ini, peruntukan bagi program sarjana perubatan dalam negara ditingkatkan kepada RM142.4 juta berbanding Parallel Pathway, hanya RM10 juta.

“Jadi apapun persespi bahawa kita memberi kepentingan kepada program perubatan luar negara itu atau Parallel Pathway itu adalah tidak tepat, dari sudut kewangan pun jelas menunjukkan perkara itu tidak begitu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Sesi Taklimat KKM bersama media berhubung pindaan dua akta iaitu Akta Perubatan 1971 (Akta 50) dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 di Bangunan Parlimen hari ini. 

Terdahulu, Dr Dzulkefly membentangkan Rang Undang-Undang Perubatan (Pindaan) 2024 untuk bacaan kali pertama bagi meminda Akta Perubatan 1971, dalam menambah baik peruntukan bagi melaksanakan proses pengiktirafan kelulusan dan latihan kepakaran pengamal perubatan.

Sementara itu Timbalan Pengarah Cawangan Perkembangan Profesion Perubatan KKM Dr Hirman Ismail berkata kerajaan turut membelanjakan sejumlah RM365.4 juta bagi menaja pegawai perubatan KKM, untuk mengikuti latihan kepakaran bagi tempoh lima tahun iaitu 2019 hingga 2023.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 96 peratus atau RM352.3 juta daripadanya adalah untuk program sarjana perubatan di universiti tempatan, manakala selebihnya atau RM13 juta dibelanjakan untuk program Parallel Pathway.

Dr Hirman berkata setakat ini juga daripada 296 kelulusan yang disenaraikan dalam Jadual Keempat Akta 50, 115 daripadanya merupakan kelulusan daripada institusi pengajian tinggi tempatan meliputi universiti awam dan swasta.

“Manakala untuk kelulusan dari negara lain misalnya United Kingdom hanya kira-kira 68 kelulusan sahaja, ini bermakna kelulusan yang disenaraikan, yang disediakan atau dianugerahkan oleh insistusi dalam negara jauh melebihi bilangan kelayakan atau kelulusan daripada negara lain,” katanya.

Dr Hirman berkata ketika ini juga, terdapat 120 program laluan sarjana perubatan dalam negara berbanding 14 bidang melibatkan 17 kelulusan sahaja dalam Parallel Pathway.

Rang Undang-Undang (RUU) Perubatan (Pindaan) 2024 yang dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini antara lain bertujuan memberikan kuasa kepada Majlis Perubatan Malaysia (MMC) untuk mengiktiraf kelayakan serta latihan kepakaran, bagi tujuan pendaftaran pengamal perubatan dan pakar.

Pindaan ini juga bertujuan menambah baik peruntukan mengenai pendaftaran pengamal perubatan sebagai pakar serta bagi melaksanakan proses pengiktirafan kelulusan dan latihan kepakaran.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan