DUNIA

CHINA SEKALI LAGI JADI TUAN RUMAH RUNDINGAN HAMAS-FATAH

16/07/2024 12:21 PM

TEHRAN, 16 Julai (Bernama-IRNA) -- China sekali lagi akan menjadi tuan rumah kepada pertemuan antara pegawai-pegawai kanan Hamas yang berpusat di Gaza dan gerakan Fatah yang berpusat di Tebing Barat yang dijadual berlangsung minggu depan, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA) memetik sumber media.

IRNA memetik laporan New York Times bahawa seorang pegawai Palestin memaklumkan pertemuan antara Hamas dan Fatah itu diadakan sebagai sebahagian daripada usaha Beijing untuk menyelesaikan perbezaan antara kedua-dua kumpulan yang bersaing antara satu sama lain selama bertahun-tahun.

Pada April, Beijing menjadi tuan rumah pusingan pertama bagi perbincangan Hamas-Fatah untuk mencapai perjanjian yang berpotensi.

China secara sejarah menyokong perjuangan rakyat Palestin dan menyokong kepada penyelesaian dua negara untuk konflik Israel-Palestin.

Pada April, Menteri Luar China Wang Yi berkata bahawa Amerika Syarikat harus menyokong resolusi PBB untuk mewujudkan gencatan senjata di Semenanjung Gaza.

Mengulangi gesaan Beijing untuk gencatan senjata segera, Wang menyifatkan perang Israel ke atas Gaza sebagai "tragedi kemanusiaan dan memalukan tamadun."

-- BERNAMA-IRNA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan