EKONOMI

MALAYSIA HARAP DEFA DAPAT DIMUKTAMADKAN SEMASA NEGARA JADI PENGERUSI ASEAN

16/07/2024 01:38 PM

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Malaysia berharap Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) dapat dimuktamadkan semasa negara menjadi pengerusi ASEAN pada tahun depan. 

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata perjanjian itu masih dalam rundingan.  

“DEFA menyasarkan untuk mewujudkan rantau yang lebih berdaya saing, inklusif dan menjana keuntungan selain memacu transformasi ASEAN menjadi ekonomi digital yang terkemuka,” katanya pada ASEAN Manufacturing Youth Conference 2024 (AMYC 2024) hari ini. 

Beliau berkata berdasarkan trajektori semasa, ekonomi digital ASEAN dijangka mencecah US$1 trilion menjelang 2030. 

“Dengan DEFA, ini dapat digandakan dengan mudah kepada US$2 trilion,” katanya, sambil menggesa golongan belia untuk memanfaatkan DEFA bagi menggalakkan kerjasama digital yang lebih baik. 

Tengku Zafrul berkata langkah itu akan memberi laluan kepada integrasi digital serantau serta pertumbuhan dan pembangunan yang inklusif.

Bagi menyokong peranan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN pada tahun depan, katanya MITI sedang menerajui kerja-kerja berkaitan Tonggak Ekonomi ASEAN, berdasarkan matlamat utama Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).

“Malaysia melihat peranan selaku pengerusi sebagai peluang untuk menjajarkan hala tuju ASEAN dengan dasar ekonomi negara, memudah cara penerimaan mereka di peringkat serantau,” katanya, sambil menambah Malaysia sedang merangka Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) sebagai persediaan negara menjadi pengerusi ASEAN.  

PED dijangka memberi manfaat kepada orang ramai dan perniagaan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta sektor pembuatan.

MITI juga terlibat secara aktif dalam merumuskan Visi Komuniti ASEAN (ACV) 2045 untuk merencanakan trajektori pembangunan ASEAN dalam tempoh dua dekad akan datang.

“Pemimpin ASEAN akan membentangkan dokumen itu pada Sidang Kemuncak ASEAN di Malaysia pada tahun depan,” katanya.  

Tengku Zafrul berkata menjelang 2030, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN diunjurkan mencecah US$4.5 trilion, menjadikannya ekonomi keempat terbesar di dunia.

-- BERNAMA 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan