AM

ORGANISASI PERLU UTAMAKAN KEWUJUDAN PENGALAMAN PEKERJA POSITIF - FADILLAH

16/07/2024 02:03 PM

CYBERJAYA, 16 Julai (Bernama) -- Pihak organisasi perlu memberi keutamaan kepada usaha mewujudkan pengalaman pekerja yang positif bagi menarik, mengekalkan serta memperkasa kemahiran pekerja, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata ini termasuk menyediakan peluang bagi pembangunan profesional, mempromosikan keseimbangan dalam aspek kehidupan dan kerjaya, selain memupuk budaya persekitaran kerja yang positif.  

''Usaha memberikan penekanan kepada kepelbagaian dan inklusif perlu menjadi aspek utama amalan sumber manusia, dalam mewujudkan persekitaran inklusif yang menghargai dan memanfaatkan pelbagai perspektif, proses membuat keputusan dan inovasi," katanya dalam ucapan di Persidangan Strategi Pengurusan Sumber Manusia bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di sini, hari ini.   

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata masa hadapan amalan pengurusan sumber manusia yang berkesan di Malaysia akan dibentuk oleh beberapa trend utama dan pembangunan.

"Dengan perkembangan terkini dan penggunaan digital serta teknologi seperti pengurusan sistem Sumber Manusia, kecerdasan buatan (AI) dan analisis data, proses Sumber Manusia mampu ditingkatkan bagi memperbaiki proses membuat keputusan dan pengalaman pekerja.

''Melalui proses automasi bagi kerja-kerja rutin, profesional Sumber Manusia dapat memfokuskan kepada inisiatif strategik dan mengoptimumkan pembangunan bakat (tenaga kerja),” katanya.

Selaras dengan perubahan yang pesat dalam pelbagai aspek Fadillah berkata pembelajaran yang berterusan dan pembangunan akan menjadi lebih penting, sekali gus memerlukan organisasi untuk membuat pelaburan dalam program peningkatan kemahiran dan latihan semula bagi memastikan tenaga kerja mereka kekal kompetitif dan boleh menyesuaikan diri terhadap cabaran baharu.

“Sejak kebelakangan ini saya lihat terdapat keperluan untuk menyokong kebajikan pekerja dan kesihatan mental mereka.

“Bagi maksud ini saya menggesa organisasi untuk menjadi proaktif dalam melaksanakan inisiatif dan menyediakan peluang bagi membantu pekerja menangani tekanan, mencapai keseimbagangan dalam kehidupan dan kerjaya, selain mengekalkan kesejahteraan,” katanya.  

Persidangan dua hari bermula hari ini bertujuan mewujudkan forum yang dinamik untuk saling bertukar pandangan dan amalan terbaik, khusus untuk keperluan pemimpin perniagaan PKS.

Persidangan anjuran IHR Consulting dan The Emkay Group itu menghimpunkan peserta daripada pelbagai peringkat, termasuk pakar Sumber Manusia, pengamal dan pelbagai pihak berkepentingan, bagi membentuk satu pelan pengurusan sumber manusia yang efektif dan dinamik.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan