JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS KESAN REMAJA LELAKI HILANG SEJAK ENAM HARI LEPAS

16/07/2024 02:12 PM

SEREMBAN, 16 Julai (Bernama) -- Polis sedang berusaha mengesan seorang remaja lelaki yang dilaporkan hilang oleh keluarganya di Kuala Pilah dekat sini sejak enam hari lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Supt Amran Mohd Ghani berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kehilangan Muhammad Adi Putra Yusri, 17, pada pukul 8.13 malam tadi.

“Lokasi terakhir remaja itu dilihat adalah di Ampang Tinggi, Tanjung Ipoh. Dia memakai kemeja-T berlengan pendek berwarna hijau dan berseluar pendek serta selipar hitam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata remaja berkulit hitam manis, berbadan kurus dengan ketinggian 180 sentimeter itu tidak lagi bersekolah, dan berdasarkan siasatan remaja yang tidak bersekolah itu pernah keluar rumah beberapa kali sebelum ini, tetapi pulang semula kemudiannya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil ke mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah menerusi talian 06-484 2222 bagi membantu polis mengesannya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan