AM

YADIM SEDIA BARISAN PENCERAMAH BERTAULIAH BERI PENCERAHAN PELBAGAI ISU

16/07/2024 03:03 PM

PUTRAJAYA, 16 Julai (Bernama) -- Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyediakan barisan penceramah bertauliah dikenali sebagai ‘Zamalah YADIM’ yang sentiasa bersedia memberi pengisian dan pencerahan dalam pelbagai bidang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Zamri Zainal Abidin berkata barisan penceramah itu mempunyai tauliah daripada Majlis Agama Islam negeri-negeri dalam pelbagai bidang seperti al-Quran, perbandingan agama, pemantapan bahasa, muamalat, fiqh kontemporari, pengurusan haji dan umrah, pengurusan jenazah dan lain lain.

“Zamalah YADIM ini sebagai komitmen YADIM selaku peneraju gerakan dakwah di negara ini menggunakan tenaga pakar yang bertauliah, diyakini dapat memberi pencerahan sahih dan betul serta mampu menjadi rujukan dalam sesuatu isu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata orang ramai diseru berhati-hati ketika menghadiri sebarang kelas ilmu dalam talian kerana ketika ini muncul begitu ramai pendakwah di media sosial yang diragui kelayakan mereka.

“Sebagai contoh baru-baru ini timbul isu seorang 'ustaz' yang meminta supaya seorang peserta wanita membuka kamera video untuk melihat pergerakan bibirnya ketika membaca al-Quran bagi mengesahkan ia sesuai dengan kehendak syarak.

“Tindakan itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Zamri berkata maklumat mengenai Zamalah YADIM boleh didapati di Facebok rasmi YADIM atau pautan https://www.yadim.com.my/v2/direktori-zamalah-yadim/ di laman sesawang badan dakwah ini.

Bagi mendapatkan khidmat mereka orang ramai boleh menghubungi Bahagian Pembangunan Duat di talian 03-8870 3870 atau emel du'at@yadim.com.my.

Senarai zamalah ini juga boleh didapati di negeri-negeri dengan menghubungi pejabat YADIM negeri.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan