AM

KEMENTERIAN DIGITAL SEDIA BANTU PKS DALAM PELAKSANAAN E-INVOIS - GOBIND

16/07/2024 03:08 PM

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Kementerian Digital sedia membantu kalangan peniaga dan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menghadapi kesukaran dalam melaksanakan sistem e-Invois yang dijadual bermula Ogos ini.

Menterinya Gobind Singh Deo berkata beberapa perkara telah dibangkitkan berhubung pelaksanaan sistem itu, termasuk kemungkinan peniaga dan usahawan PKS perlu membuat bayaran lebih untuk mendapatkan khidmat pakar bagi melaksanakan proses sistem baharu itu.

Sehubungan itu, pihaknya akan meneliti perkara berkenaan serta langkah-langkah yang boleh diambil untuk membantu golongan berkenaan.

“Bantuan itu akan dibincangkan terlebih dahulu dan sebarang pengumumannya mungkin dibuat semasa pembentangan Belanjawan 2025 pada Oktober ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka e-Invois Kebangsaan dan Majlis Akreditasi anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) di sini, hari ini.

Gobind mengulas kebimbangan pihak termasuk Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) mengenai kenaikan kos yang perlu ditanggung PKS berikutan arahan pelaksanaan sistem e-Invois.

Beliau sebaliknya menegaskan bahawa pelaksanaan e-Invois itu akan memberi manfaat, termasuk meningkatkan pendapatan PKS.

"Jika kita lihat  impak (pelaksanaan e-Invois) secara meluas, apabila dapat memudahkan perniagaan, proses itu akan menjimatkan wang dan menyegerakan setiap transaksi.

“Dari sudut itu, kita sudah pasti dapat melihat peningkatan dalam pendapatan (PKS),” katanya.

Pada majlis itu, sebanyak 31 Pembekal Perkhidmatan Peppol (SP) dan empat Penyedia Penyelesaian Sedia Ada Peppol (PRSP) menerima akreditasi sebagai penyedia perkhidmatan e-Invois yang diiktiraf.

Langkah itu sekali gus mewujudkan jaringan kerjasama di antara perniagaan dan pembekal perkhidmatan yang membolehkan perniagaan meneroka pelbagai solusi e-Invois bersesuaian bagi tujuan pendigitalan perniagaan serta pematuhan cukai.

MDEC yang juga agensi peneraju ekonomi digital negara, turut diberi mandat sebagai Pan-European Public Procurement On-Line (Peppol Authority) di Malaysia.

Sementara itu, MDEC berkata penggunaan e-Invois dijangka meningkatkan sumbangan hasil cukai antara 14 peratus dan 15 peratus daripada keluaran dalam negara kasar sebaik dilaksanakan sepenuhnya dalam semua perniagaan menjelang 1 Julai, 2025.

Sistem e-Invois Kebangsaan yang bertujuan mendigitalkan perniagaan menggunakan kerangka Peppol,  adalah inisiatif di bawah beberapa pelan tindakan peringkat kebangsaan iaitu Rancangan Malaysia Ke-12, Pelan Tindakan MyDigital dan Pelan Hala Tuju Strategik E-Dagang (NESR) 2.0.

Penerimagunaan e-Invois adalah langkah penting sejajar dengan kemajuan semasa ekonomi digital selain dapat membantu perniagaan menyelaras operasi dan meningkatkan kecekapan, memacu pertumbuhan ekonomi selain meningkatkan hasil cukai.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan