EKONOMI

AMRO SEMAK SEMULA UNJURAN PERTUMBUHAN EKONOMI MALAYSIA KEPADA 4.7 PERATUS PADA 2024

16/07/2024 03:51 PM

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Pejabat Penyelidikan Makroekonomi Asean+3 (AMRO) menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 4.7 peratus tahun ini, berbanding 5.0 peratus sebelumnya, kata Ketua Ahli Ekonomi Hoe Ee Khor.

Beliau berkata perubahan itu disebabkan pemulihan yang lebih perlahan daripada jangkaan dalam sektor eksport berbanding beberapa negara lain.

"Tetapi ia masih merupakan pertumbuhan yang sangat kukuh," katanya semasa perkembangan sukuan AMRO mengenai Tinjauan Ekonomi Serantau ASEAN+3 (AREO) yang diadakan secara maya hari ini.

Hoe berkata AMRO meningkatkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2025 Malaysia kepada 4.9 peratus daripada 4.7 peratus sebelum ini, berlandaskan jangkaan pemulihan kukuh dalam eksport, permintaan domestik dan pelaburan yang berdaya tahan.

“Pemulihan eksport dilihat agak perlahan tahun ini tetapi dijangka lebih kukuh tahun depan.

"Pelaburan yang masuk beberapa tahun kebelakangan ini akan dilaksanakan tahun ini dan 2025, sekali gus membantu menyokong ekonomi Malaysia," katanya.

Mengulas berkenaan ringgit, Hoe berkata prestasi mata wang itu agak baik sejak Februari berikutan ekonomi negara yang kukuh. 

"Kerajaan telah mengambil beberapa pendekatan untuk menggalakkan syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan untuk memanfaatkan pendapatan pelaburan, yang membantu menyokong pasaran pertukaran asing.  

"Pada masa sama, ekonomi juga mendapat manfaat daripada pemulihan cabaran luar yang turut membantu menyokong imbangan pembayaran," katanya.

Menurut Hoe, cabaran yang mengganggu ekonomi pada tahun lepas menyebabkan ringgit mengalami susut nilai, namun beliau menjangkakan ringgit akan lebih kukuh berbanding tahun lepas, berikutan langkah-langkah yang diambil oleh pihak berkuasa.

Mata wang serantau juga pada masa sama banyak dipengaruhi dasar Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS).

Ketika ini, pasaran menjangkakan kadar faedah AS akan turun sebanyak 50 mata asas.

“Jika inflasi dan kadar faedah kekal lebih tinggi daripada jangkaan, mata wang serantau mungkin agak lemah.

“Sebaliknya, jika Fed meneruskan pemotongan kadar 50 mata asas, ia dipercayai akan melemahkan dolar AS dan mengukuhkan mata wang serantau,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan