POLITIK

ADUN REMBIA SERTAI PAS SEJAK JUN TAHUN LEPAS - TAKIYUDDIN

16/07/2024 06:42 PM

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia Muhammad Jailani Khamis yang sebelum ini digantung keahlian dalam UMNO telah menyertai PAS.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung PAS yang juga Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

“Saya ingin mengesahkan ADUN Rembia dalam Parlimen Alor Gajah telah memohon untuk menjadi ahli PAS dan beliau telah diterima menjadi ahli PAS pada 10 Jun 2023.

“Jadi saya nak umumkan di DUN Melaka kita bukan ada dua orang pembangkang tetapi tiga orang pembangkang, seorang ADUN dari Bemban, Sungai Udang dan sekarang Rembia,” katanya.

Takiyuddin berkata tindakan Muhammad Jailani tidak dianggap sebagai lompat parti memandangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2023 berkaitan lompat parti diluluskan pada 31 Julai 2023 selepas Muhamad Jailani menyertai PAS.

Berdasarkan surat Lembaga Disiplin UMNO bertarikh 28 Ogos tahun lalu, Muhammad Jailani didakwa melakukan sabotaj terhadap parti kerana sengaja hadir ke majlis pengumuman calon PN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram di Bakri, Johor.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan