EKONOMI

KERAJAAN TELITI KAEDAH BAHARU LANTIKAN TETAP, PASTIKAN KEWANGAN NEGARA LEBIH MAMPAN

16/07/2024 11:26 PM

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Kerajaan sedang meneliti kaedah baharu lantikan tetap bagi memastikan pengurusan kewangan negara yang lebih mampan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata hasil kajian tersebut akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan kelulusan.

“Justeru, cadangan pelaksanaan inisiatif lantikan tetap dan bercarum pada masa ini masih di peringkat kajian bagi menentukan strategi terbaik dan menepati prinsip tidak kurang baik daripada skim pencen sedia ada,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Saravanan Murugan (BN-Tapah) mengenai kajian dan cadangan penangguhan pelaksanaan inisiatif lantikan baharu bercarum kepada penjawat awam.

Dr Zaliha berkata pada masa ini skim pencen sedia ada bagi pegawai yang sedang berkhidmat dan pesara masih diteruskan.

Namun begitu, implikasi kewangan terhadap tanggungan faedah persaraan semakin meningkat setiap tahun, katanya.

“Pada 2023, jumlah perbelanjaan faedah persaraan adalah sebanyak RM32 bilion dan dijangka mencecah sebanyak RM46.36 bilion pada 2030,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan