AM

ANWAR AKAN BERTEMU KELUARGA MENDIANG TEOH BENG HOCK MINGGU DEPAN

17/07/2024 02:52 PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan pertemuan dengan keluarga mendiang Teoh Beng Hock minggu depan.

"Saya akan berjumpa keluarga Teoh Beng Hock minggu depan selepas Mesyuarat Majlis Raja-Raja dan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Bioekonomi Kebangsaan 2024 di sini hari ini.

Anwar berkata demikian ketika diminta memperincikan masa perjumpaan itu susulan kenyataan dalam media sosialnya baru-baru ini yang mahu berjumpa dengan keluarga bekas Setiausaha Politik Exco Selangor daripada DAP itu.

Perdana Menteri dalam hantaran media sosialnya pada Isnin memberi jaminan akan meneliti tuntutan yang terkandung dalam memorandum yang mahu diserahkan kepada beliau di Parlimen.

Anwar dalam kenyataan melalui platform X pada Isnin juga menyatakan hasrat untuk berjumpa dengan keluarga mendiang Teoh.

Mendiang Teoh ditemukan mati pada 16 Julai 2009 di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 bangunan sama.

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) kes itu pada 2011 memutuskan kematiannya kerana membunuh diri berikutan siasatan yang dijalankan SPRM.

-- BERNAMA 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan