SUKAN

PERENANG MALAYSIA BERPOTENSI BUAT KEJUTAN PADA PENAMPILAN SULUNG DI OLIMPIK PARIS

17/07/2024 04:20 PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Jurulatih renang negara Eric Anderson percaya dua perenang negara Khiew Hoe Yean dan Tan Rouxin berpotensi untuk membuat ‘kejutan’ dalam penampilan sulung mereka di Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Bagaimanapun, jurulatih kelahiran Denmark itu berharap kedua-dua perenang itu mengelakkan daripada memberi tekanan yang tidak wajar kepada diri sendiri dan sebaliknya fokus untuk menimba sebanyak mungkin pengalaman berharga untuk masa depan.

“Matlamat kami pergi ke sana adalah untuk bersaing dalam persekitaran berprestasi tinggi dan meraih pengalaman ketika itu.

“Kalau kita boleh mencapai lebih daripada itu, ia adalah hebat.

“Anda tahu dalam renang jika anda mendapat lorong yang baik, anda masih mempunyai peluang,” katanya kepada Bernama.

Sebelum ini, Persekutuan Renang Malaysia menamakan Rou Xin dan Hoe Yean untuk mengisi slot wild card di Sukan Olimpik Paris 2024.

Rou Xin, yang memenangi enam pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 akan beraksi dalam acara 100 meter (m) kuak dada wanita, manakala Hoe Yean menyertai acara 400m gaya bebas lelaki.

Sementara itu, Anderson berkata kedua-dua Perenang negara akan menjalani kem latihan di Belfast, Ireland sebagai sebahagian daripada persiapan terakhir mereka menjelang Sukan Olimpik.

“Ini adalah peluang yang mengujakan untuk benar-benar merasai pengalaman bersaing dengan atlet terbaik dalam persekitaran berprestasi tinggi.

 “Ini adalah pengalaman penting bagi mereka ketika kita menuju ke Sukan Olimpik dan Sukan SEA,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan