EKONOMI

MALAYSIA, CHINA BEKERJASAMA BERHUBUNG PERATURAN PEMBASMIAN KESATUAN EROPAH - CHAN

17/07/2024 04:28 PM

PUTRAJAYA, 17 Julai (Bernama) -- Malaysia akan menjalin kerjasama dengan China bagi mewujudkan konsensus bersama dalam penglibatan dengan Kesatuan Eropah (EU), terutamanya yang berkaitan dengan Peraturan Pembasmian Hutan Kesatuan Eropah (EUDR),  kata Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin.

Chan turut mengesahkan komitmen Malaysia dalam mematuhi pelaksanaan dan impak EUDR dengan membekalkan produk yang diperakui Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) kepada China.

“Malaysia berharap dapat bekerjasama dengan Kementerian Ekologi dan Alam Sekitar (MEE) China untuk menggalakkan pembangunan mampan, perlindungan alam sekitar dan menangani perubahan iklim melalui Skim Pensijilan MSPO di pasaran China,” kata Chan dalam satu kenyataan hari ini.

Skim pensijilan MSPO, yang diwajibkan sejak 1 Jan 2020, memainkan peranan penting dalam usaha ini.

Sementara itu, beliau berkata isu ini dibangkitkan ketika mesyuarat dua hala G2G bersama timbalan menteri Kementerian Ekologi dan Alam Sekitar China Zhao Yingmin di Beijing pada Jumaat lepas, yang mendapat respons positif.

Chan turut memberi tumpuan berkenaan usaha gigih Malaysia untuk menangani empat cabaran yang ditimbulkan oleh EUDR: Sistem Kebolehkesanan, Hak Milik Tanah Undang-undang, Tanpa Penebangan Hutan dan Tiada Buruh Paksa.

Malaysia juga mengalu-alukan inisiatif kerajaan China untuk menggunakan biofuel, terutamanya biodiesel dan Bahan Api Penerbangan Mampan.

"Dalam hal ini, Malaysia berikrar sokongan untuk usaha ini melalui pertukaran maklumat teknikal dan bekalan biofuel," kata Chan.

Beliau turut membincangkan berkaitan pembangunan rendah karbon dan peralihan dalam sektor minyak sawit ketika berucap pada Sesi Dialog Kerjasama Rantaian Nilai Hijau Malaysia-China.

Dalam sesi dialog itu, beliau menegaskan keperluan kerjasama antarabangsa dan usaha bersama untuk membangunkan ekonomi hijau.

Beliau berkata Malaysia dan China akan terus mengukuhkan penjajaran dasar, memperluaskan pertukaran teknikal dan mempromosikan projek hijau untuk manfaat bersama.

"Kami berharap melalui dialog peringkat tinggi ini, kami boleh bekerjasama dengan semua pihak untuk meneroka pembangunan rendah karbon dan peralihan kepada minyak sawit, menggalakkan ekonomi hijau dan pemulihan berdaya tahan," kata Chan.

Chan turut mengadakan mesyuarat dua hala G2G dengan timbalan menteri Pentadbiran Am Kastam China (GACC) Zhao Zenglian untuk membincangkan kerjasama teknikal dan perjanjian perdagangan.

“Malaysia berharap dapat meneruskan kerjasama dengan GACC mengenai penyeliaan pelabuhan dan keselamatan makanan.

"Ini penting kerana kerjasama yang lancar membuka jalan untuk meneroka kerjasama antarabangsa dalam bidang utama, seperti minyak sawit," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan