AM

SINGGAHSANA MILIKI DARJAT TINGGI, DIPAHAT 99 NAMA ALLAH

18/07/2024 02:25 PM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Singgahsana yang menjadi tempat bersemayam Yang di-Pertuan Agong pada setiap kali istiadat pertabalan, memiliki darjat yang tinggi sesuai dengan kedudukan Seri Paduka Baginda sebagai Ketua Utama Negara.

Berkongsi keunikan singgahsana yang terletak di Balairong Seri Istana Negara itu, Penolong Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara Sophian Abd Rahman berkata singgahsana berkenaan ‘dipahat’ dengan 99 nama Allah dan strukturnya dibina dengan rekaan berkubah di bahagian atas.

“Istiadat pertabalan ini diwarisi turun temurun dan kita sedaya upaya cuba mengekalkan perjalanan istiadat, maksudnya daripada segi pergerakan yang begitu cermat, berjalan perlahan dengan ke hadapan kaki kanan dan ke belakang kaki kiri, naik tangga satu persatu dan turun tangga juga satu persatu.

“Apabila mempersembahkan Al-Quran, Keris Kerajaan, Titah Diraja kepada Yang di-Pertuan Agong ia harus cermat dengan menggunakan dua tangan. Ini ketertiban dan santun yang kita belajar daripada nenek moyang kita sebenarnya,” katanya dalam temu bual bersama Bernama TV di sini, baru-baru ini.

Menyentuh mengenai Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada Sabtu ini, Sophian berkata acara itu cukup istimewa buat Sultan Ibrahim, kerana bakal melalui proses bersejarah sama seperti ayahanda Seri Paduka Baginda Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail yang ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong kelapan pada 1984.

Sophian berkata Yang di-Pertuan Agong menjadikan istiadat yang berlangsung 40 tahun lepas itu sebagai pedoman, kerana Sultan Ibrahim sangat menghormati dan menyanjung almarhum ayahanda Seri Paduka Baginda.

Beliau berkata ini termasuk persalinan pakaian istiadat yang dipanggil Muskat, Tengkolok Diraja, Keris Pendek Diraja yang menjadi elemen penting yang digunakan sebagaimana istiadat pertabalan Almarhum Sultan Iskandar dahulu.

Sophian berkata Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah pula akan memakai Gendik (Tiara) Diraja yang diperbuat daripada emas putih bertatah berlian serta Kalung Diraja yang boleh ditukar sebagai loket, kerongsang dan anting-anting.

“Segala persalinan dan alat kebesaran yang digunakan pada istiadat pertabalan ini menunjukkan kehebatan sesuai dengan kedudukan darjat Seri Paduka Baginda berdua,” katanya.

Berkhidmat lebih 13 tahun di Istana Negara, Sophian berkata Sultan Ibrahim yang menaiki takhta usai istiadat melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan, sangat mementingkan kebajikan petugas Istana Negara.

Beliau berkata Sultan Ibrahim menitahkan agar disediakan makan dan minum bagi petugas Istana Negara sebanyak lima kali sehari, dengan menggunakan peruntukan peribadi Seri Paduka Baginda sendiri.

“Sultan Ibrahim juga berkenan menambah elaun bagi petugas lain seperti bentara, pemandu, tukang masak daripada ‘poket’ Seri Paduka Baginda sendiri,” katanya.

Beliau berkata keperibadian Sultan Ibrahim itu menginsafkannya supaya sentiasa menjaga orang bawahan apabila menjadi seorang ketua.

Acara-acara sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 bermula hari ini dengan Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat di Masjid Negara pada 5.30 petang, diikuti Khutbah Jumaat Khas esok.

Selain itu, pada 20 Julai akan berlangsung Majlis Santapan Diraja di Istana Negara, manakala Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenaan untuk berangkat ke Hospital Orang Asli Gombak pada 23 Julai.

Pameran Raja Kita akan diadakan di Muzium Negara pada 25 Julai sebelum acara-acara bersempena dengan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong diakhiri dengan Majlis Jamuan Teh Diraja pada 27 Julai di Istana Negara.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan