AM

IPCC TERIMA 348 ADUAN - SAIFUDDIN NASUTION

18/07/2024 02:55 PM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Sebanyak 348 aduan diterima Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) sejak berkuat kuasa 1 Julai 2023, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata daripada jumlah itu, tujuh aduan yang diterima masih dalam proses siasatan.

“Sifat kes (bagi tujuh kes itu) anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat aduan terhadap atasannya atau pengadu membuat aduan kerana tiada tindakan ke atas aduan awalnya.

“Ada juga aduan daripada tujuh ini bersifat isu integriti maknanya pemilihan pelantikan (recruitment) pangkat inspektor itu dikatakan ada unsur-unsur yang menjejaskan soal integriti, kemudian ada juga yang bersifat gangguan seksual,” katanya ketika sesi soal jawab di Parlimen.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) berhubung jumlah aduan terhadap anggota polis di bawah akta itu dan keputusan terhadap aduan berkenaan.

Menjawab soalan tambahan Ramkarpal yang mempersoalkan jumlah kes disiasat IPCC, Saifuddin Nasution berkata di bawah Seksyen 25 Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2022 (Akta 839) itu sendiri membenarkan pengelasan kes-kes bagi merujuk kepada pihak berkuasa lain yang juga mempunyai bidang kuasa untuk menyiasat dan penguatkuasaan. 

“Ini membolehkan IPCC mengklasifikasikan aduan kalau ianya bersifat rasuah itu di bawah Seksyen 25(a) maka IPCC salurkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, ada juga yang IPCC salurkan terus kepada pihak berkuasa berkaitan itu di bawah Seksyen 25(b).

“Seksyen 25(d) itu di bawah bidang kuasa PDRM, Seksyen 25 (e) adalah tiada tindakan lanjutan atau aduan bersifat remeh manakala 25(c) adalah betul-betul di bawah bidang kuasa IPCC, jumlahnya tujuh (kes yang disiasat di IPCC),” katanya. 

Mengulas lanjut, beliau berkata daripada 348 itu, aduan bersifat jenayah paling banyak diterima antaranya berkaitan kekerasan, gangguan seksual, dadah, pemalsuan dokumen, ugutan serta isu-isu berkaitan integriti, yang tertakluk kepada bidang kuasa Akta Polis 1967 (Akta 344) untuk tindakan lanjut. 

Menjawab soalan tambahan Ramkarpal sama ada kerajaan berniat memperkasakan IPCC untuk memberi lebih kuasa menangani aduan terhadap pegawai polis, Saifuddin Nasution berkata Kementerian Dalam Negeri mengambil pendekatan untuk memberikan ruang dan kepercayaan kepada suruhanjaya itu yang baru setahun berkuat kuasa.

“Buat masa ini pendirian yang diambil kementerian ialah kewujudan IPCC adalah kewujudan yang boleh kita pertahankan dengan pendekatan bahawa pada hari muka di mana ada keperluan untuk melihat semula akta ini itu, kita akan teliti pada ketika itu,” katanya.

IPCC, yang merupakan Badan Berkanun Persekutuan ditubuhkan di bawah Seksyen 3 Akta 839 dan diwartakan pada 18 Oktober 2022, menjalankan fungsi dan kuasa sebagai badan pemantau bebas terhadap pasukan polis dari aspek siasatan aduan berkaitan salah laku.

-- BERNAMA


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan