AM

PARLIMEN: PINDAAN AKTA PENAGIH DADAH BANTU KAWAL SELIA PPDP - SAIFUDDIN NASUTION

18/07/2024 06:35 PM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Rang Undang-Undang Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 yang diluluskan Dewan Rakyat hari ini antaranya akan membantu kerajaan mengawal selia dan menambah baik pengurusan serta pengoperasian pusat pemulihan dadah persendirian (PPDP) di negara ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ini kerana Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 ketika ini tidak mempunyai peruntukan keperluan pendaftaran bagi pusat pemulihan itu.

"Jadi Kementerian Dalam Negeri (KDN) berpendapat ada keperluan untuk mengawal selia pengendali pusat pemulihan ini melalui rang undang-undang bagi tambah baik peruntukan kawal selia PPDP supaya operasi pusat-pusat ini ada piawaiannya, mesti berkualiti dan ada kelayakan," katanya semasa menggulung sesi perbahasan rang undang-undang berkenaan.

Berdasarkan libat urus KDN bersama pengendali PPDP sebelum ini, Saifuddin Nasution berkata beliau dimaklumkan wujud kes-kes tertentu berkaitan PPDP yang tidak menjalankan fungsi utamanya iaitu membantu merawat dan memulihkan klien mereka daripada ketagihan dadah atau penyalahgunaan bahan.

"Ada kes pelanggaran berlaku dan hal ini bukan dipetik secara awang-awangan tetapi ia adalah maklumat daripada pengusaha pusat persendirian hasil libat urus kita. Ada yang tidak menyediakan fasiliti yang selamat sehingga menyebabkan kecederaan serta mengancam keselamatan dan nyawa klien.

"Ada juga kes tenaga klien digunakan untuk mengutip derma dan sebagainya," katanya.

Justeru, beliau berkata KDN mencadangkan suatu peruntukan hukuman denda hingga RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun terhadap pengusaha PPDP jika disabitkan bagi kesalahan itu melalui rang undang-undang berkenaan.

Saifuddin Nasution berkata pindaan itu memberi punca kuasa kepada Pegawai Pemulihan untuk membuat perakuan terhadap klien bagi tujuan rawatan dan pemulihan dadah serta bahan secara sukarela di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

"Kalau sebelum ini satu sahaja iaitu pegawai perubatan… akta ini juga tidak sama sekali mengetepikan peranan pegawai perubatan. 

"Hakikatnya di AADK memang ada pegawai perubatan dan penolong pegawai perubatan sama ada locum atau mereka ditempatkan di situ… dalam tempoh pemerhatian awal, sekiranya didapati klien mempunyai gejala-gejala yang hanya pegawai perubatan ada kepakaran maka AADK akan salurkan (kepada pegawai perubatan)," katanya dalam sidang media selepas rang undang-undang itu diluluskan.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan