DUNIA

PERKAMPUNGAN ATLET UNTUK SUKAN OLIMPIK PARIS KINI DIBUKA

18/07/2024 11:08 PM

PARIS, 18 Julai (Bernama-dpa) -- Perkampungan atlet untuk Sukan Olimpik Paris dibuka pada Khamis, menyambut kedatangan kumpulan pertama 14,000 atlet dan pegawai pasukan yang dijangka tiba, lapor agensi berita Jerman dpa.

Terletak di Daerah Seine-Saint-Denis di luar Paris, perkampungan seluas 52 hektar ini mempunyai 82 bangunan untuk menempatkan para atlet semasa Sukan Olimpik yang akan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos.

Ia juga akan menampung beberapa ribu kakitangan.

Selepas Olimpik, tapak ini akan diubah menjadi kawasan kediaman dan pejabat baharu dengan kedai-kedai.

Walaupun merupakan salah sebuah kawasan termiskin dan mempunyai kadar jenayah tertinggi di rantau Paris, Saint-Denis telah mengalami peningkatan yang ketara untuk Olimpik, termasuk pembinaan sebuah pusat renang baharu.

Arena kebangsaan Perancis, Stade de France, yang terletak di Saint-Denis, akan menjadi tuan rumah bagi pertandingan olahraga dan majlis penutup Sukan Olimpik.

--BERNAMA-dpa

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan