BERITA TERGEMPAR   PRK Nenggiri: Jentera PH akan digerakkan bantu kempen calon BN- Fahmi | 
 AM

ISTIADAT PERTABALAN YANG DI-PERTUAN AGONG KUKUHKAN KESETIAAN KEPADA RAJA BERPERLEMBAGAAN

19/07/2024 03:08 PM

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 esok sangat penting demi mengukuhkan kesetiaan rakyat kepada sistem yang telah lama diamalkan iaitu sistem Raja Berperlembagaan.

Khutbah Jumaat khas sempena istiadat pertabalan bertajuk “Raja Ditaati, Negara Dirahmati” menyebut istiadat esok sangat signifikan kerana selain menjadi lambang sistem Raja Berperlembagaan di Malaysia, istiadat itu juga menjulang tinggi darjat Seri Paduka Baginda sebagai payung negara.

Menurut khutbah, Sultan Ibrahim ketika melafazkan sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 31 Jan lepas menekankan dengan jelas akan menjalankan pemerintahan dengan adil menurut undang-undang dan Perlembagaan. 

"Seri Paduka Baginda turut melafazkan ikrar untuk memelihara kesucian agama Islam sesuai dengan bidang kuasa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia," menurut teks khutbah itu yang dipaparkan di laman sesawang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), hari ini.

Khutbah berkenaan juga menyebut Yang di-Pertuan Agong berperanan mewujudkan dan melestarikan perpaduan serta memastikan pentadbiran negara berada dalam landasan betul demi memelihara kedaulatannya serta kesejahteraan rakyat.

"Hubungan raja dan rakyat diibaratkan seperti pohon pokok iaitu raja umpama pohon dan rakyat sebagai akarnya. Sudah tentulah pohon tidak berupaya hidup tanpa akar yang kuat dan akar pula sangat perlukan pohon yang hidup dan menjalankan fungsinya dengan baik. 

"Inilah disebut sebagai hubungan simbiosis yang menunjukkan raja memerlukan rakyat dan rakyat juga memerlukan raja sebagai tempat berlindung," menurut khutbah itu.

Khutbah juga menyeru umat Islam agar memahami bahawa Institusi Yang di-Pertuan Agong dan Institusi Raja-Raja Melayu harus dipertahankan, selain menekankan Seri Paduka Baginda berperanan sebagai Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri tidak beraja iaitu Pulau Pinang, Sarawak, Sabah, Melaka dan Wilayah Persekutuan manakala bagi negeri-negeri lain, Ketua Agama Islam ialah Sultan atau Raja masing-masing.

"Rakyat dapat hidup aman damai dengan sistem ini tanpa kekacauan atau haru-biru kerana kita percaya bahawa kita mempunyai seorang raja berdaulat yang merupakan pemerintah tertinggi negara kita bergelar Yang di-Pertuan Agong," menurut khutbah itu.

Umat Islam juga diseru supaya menumpahkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong dalam menunaikan taklifan (tanggungjawab) Seri Paduka Baginda yang sangat besar.

"Sama-sama kita berdoa agar Istiadat Pertabalan yang bakal berlangsung esok berjalan dengan lancar dan dalam perlindungan Allah SWT, seterusnya kita panjatkan doa kesejahteraan, ‘afiyah (keselamatan) dan ‘inayah (pertolongan Allah) buat Seri Paduka Baginda dalam meneraju dan memimpin rakyat di negara ini menurut Perlembagaan dan panduan Islam yang ditetapkan," menurut khutbah itu. 

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan