AM

MENARA JENDELA: HANYA 30 PERATUS BEROPERASI - TEO

19/07/2024 02:42 PM

KULAI, 19 Julai (Bernama) -- Hanya 30 peratus daripada 1,661 pembinaan menara telekomunikasi di bawah projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) telah disiapkan dan beroperasi sepenuhnya di seluruh negara.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata jumlah tersebut membabitkan 492 menara telekomunikasi yang telah beroperasi daripada 716 menara yang sudah siap dibina.

“Antara faktor projek JENDELA lambat siap, khususnya di Sabah dan Sarawak, adalah kerana tidak mempunyai tapak sesuai untuk mendirikan menara telekomunikasi itu.

“Kita mahu mencapai 100 peratus liputan telekomunikasi secepat mungkin namun terdapat kelewatan projek ini di Sabah dan Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak menara telekomunikasi Kampung Murni Jaya 2 dan Kampung Tersusun Murni Jaya, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor.

Mengulas lanjut, beliau berkata projek di Sabah dan Sarawak dimulakan pada 2022 dan sepatutnya siap dalam tempoh 18 bulan namun tergendala ekoran masalah tapak serta kontraktor yang tidak dapat menyiapkan projek dalam masa ditetapkan.

Menurut Teo, di Sabah hanya 50 peratus projek menara tersebut sudah disiapkan manakala di Sarawak pula hanya 20 peratus.

“Memang Sabah dan Sarawak jadi tumpuan kami. Kami perlu menggunakan gelombang mikro ataupun satelit untuk memberi perkhidmatan komunikasi kepada penduduk terutamanya kawasan pedalaman sebab kalau nak menggunakan gentian optik memerlukan waktu yang agak panjang, jadi setakat ini pihak kami mengkaji penyelesaian baharu,” katanya.  

Dalam pada itu, beliau menasihati pengguna media sosial agar tidak keterlaluan dalam memberikan kritikan berhubung isu yang menyentuh sensitiviti perkauman termasuk isu klip video "George Town Festival 2024".

“Setakat ini, tidak ada terima maklum balas mengenai perkara itu tetapi seperti apa yang selalu kita tegaskan rakyat jelata mempunyai hak untuk mengkritik tetapi jangan sampai tahap yang melampau dan jangan mengambil peluang untuk menjadikannya satu isu perkauman.

“Mungkin kesilapan sebelah pihak tetapi jangan sampai tahap menjadi isu perkauman yang tidak betul, jadi nasihat saya, jadilah seorang netizen yang bertanggungjawab dan jangan salah guna kemudahan yang telah disediakan," katanya.

Teo berkata penganjur acara itu dinasihatkan supaya belajar daripada kesilapan khususnya dalam menampilkan kepelbagaian rakyat Malaysia.

Terdahulu pada Isnin, Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) menzahirkan kekesalan terhadap penyiaran video promosi sambutan "George Town Festival 2024'’ yang didakwa hanya mempromosikan kebudayaan kaum Cina dan India.

Penganjur festival itu sebelum ini dilaporkan telah mengeluarkan permohonan maaf dan menurunkan video tersebut.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan