EKONOMI

TNB DAPAT MANFAAT DARIPADA LONJAKAN PUSAT DATA - PENGANALISIS

19/07/2024 02:46 PM

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Tenaga Nasional Bhd (TNB) dijangka meningkatkan perbelanjaan modalnya (capex), terutamanya dalam bahagian penghantaran dan pengedarannya, untuk menyesuaikan dengan penubuhan kemudahan pusat data oleh syarikat teknologi di Lembah Klang dan Johor.

Dalam nota penyelidikan hari ini, Public Investment Bank Bhd (PIVB) berkata Telekom Malaysia Bhd (TM) dilihat sebagai penerima utama dalam bidang telekomunikasi dan keperluan kepada lebih banyak tenaga akan membawa kepada lonjakan dalam permintaan tenaga TNB yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Kami menjangka kerjasamanya dengan Singtel untuk mewujudkan pusat data medan hijau di Iskandar Puteri berpotensi menjana peningkatan pendapatan kira-kira 24 peratus selepas tahun kewangan 2026.

“Oleh itu, tarif yang lebih tinggi adalah wajar untuk mendapat pulangan ke atas pelaburan yang mencukupi,” katanya.

Menurut PIVB, TNB  dijangka melaksanakan capex kira-kira RM90 bilion selama enam tahun sehingga 2030 untuk menyokong inisiatif peralihan tenaga dan menaik taraf sistem.

Katanya lebih banyak pembangunan infrastruktur seperti sambungan tenaga, pusat pertukaran internet, stesen pendaratan kabel dan kabel fiber optik, dijangka dibina untuk menampung beban kerja teknologi maklumat (IT) yang meningkat.

“Pada masa ini, jumlah beban IT di Malaysia dianggarkan kira-kira 900 megawatt (MW) pada 2024 tetapi ini dijangka meningkat kepada kira-kira 1,400MW menjelang 2029, menjadikan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak lapan peratus,” katanya.

PIVB menaikkan harga sasaran (TP) TNB kepada RM16.00 dengan saranan ‘mengatasi pasaran’ daripada RM13.00 sebelum ini.

Katanya penerima manfaat lain daripada pelaburan pusat data yang meningkat di Malaysia termasuklah pemain dalam sektor pembinaan seperti Gamuda Bhd (TP: RM9.20) dan IJM Corporation Bhd (RM4.20) berdasarkan rekod prestasi mereka dalam mendapatkan lebih banyak projek pusat data. 

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan