AM

96 RUMAH ROSAK DIPUKUL RIBUT DI MARANG

19/07/2024 03:24 PM

MARANG, 19 Julai (Bernama) -- Sebanyak 96 buah rumah rosak akibat dipukul ribut dalam kejadian di daerah Marang,pada petang Rabu lepas, kata Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau berkata kerajaan negeri telah menguruskan bantuan awal kepada penduduk yang terjejas bagi memastikan mereka dapat kembali memasuki kediaman masing-masing dalam kadar segera.

"Sebanyak 96 buah rumah yang terjejas dan kerosakan tak sama. Dengan bantuan sukarelawan, penduduk serta Jabatan Pembangunan, Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKKK), kita usahakan gotong-royong bersihkan rumah dan kawasan dengan segera supaya mereka dapat masuk rumah dalam kadar segera.

"Hari ini, kita jangka selesai kerja membaiki atap supaya apabila hujan, barang-barang rumah tak rosak. Selepas ini, kita salur bantuan lebih besar supaya mereka dapat duduk dengan selesa," katanya selepas melawat rumah mangsa ribut Kampung Seberang Marang, di sini hari ini.

Ahmad Samsuri berkata jumlah kerugian juga masih dalam penilaian dan nilai bantuan yang akan disalurkan adalah berbeza mengikut tahap kerosakan rumah masing-masing.

Sementara itu, seorang mangsa ribut, Siti Aisyah Mohamed, 24, berkata ketika kejadian dia dan suaminya sedang berehat bersama tiga anak mereka termasuk bayi lelaki berusia 37 hari.

Katanya ketika itu dia hanya mampu berdoa sambil memeluk tiga anaknya apabila rumah mereka bergegar dan atap diterbangkan angin kuat.

"Suami bergegas membawa kami keluar ke tempat lebih selamat bagi mengelak ditimpa serpihan atap dan kayu yang diterbangkan angin.

"Saya pula masih dalam pantang…tak boleh nak bergerak cepat. Memang sangat cemas dan tak putus-putus berdoa supaya dijauhi bencana," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan