BERITA TERGEMPAR   PRK Nenggiri: Jentera PH akan digerakkan bantu kempen calon BN- Fahmi | 
 SUKAN

HAKIM DANISH ADA PELUANG BERAKSI DI MOTO3 - AZHAN SHAFRIMAN

19/07/2024 03:19 PM

SEPANG, 19 Julai (Bernama) -- Pelumba muda meningkat naik Hakim Danish Ramli dijangka bakal menjadi antara wakil termuda negara beraksi di pentas Moto3 Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim ini di Grand Prix (GP) Malaysia pada 1 hingga 3 November ini menerusi tiket ‘wildcard’.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Azhan Shafriman Hanif berkata semuanya bergantung kepada kebenaran diberikan pihak penganjur memandangkan umur Hakim Danish yang belum mencecah usia 18 tahun ketika ini.

“Untuk beraksi menerusi tiket ‘wildcard’ di Moto3 saya rasa umur minimum pelumba adalah 18 tahun dan umur Hakim Danish baru 17. Jadi kita akan bincang lebih lanjut dengan pihak Dorna selaku pihak penganjur jika mereka boleh berikan pengecualian untuk had umur.

“Peluang itu memang ada, cuma sama ada ia dibenarkan atau tidak kerana bergantung kepada dana dan sponsor yang kita akan perolehi untuk slot ‘wildcard’. Kalau boleh kita hendak ada pelumba beraksi di MotoGP Malaysia sebab tahun lepas kita ada Damok (Syarifuddin Azman),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada majlis pelancaran SIC Petronas Duathlon di sini hari ini.

Hakim Danish ketika ini bersaing dalam perlumbaan kejuaraan RedBull MotoGP Rookies Cup 2024 dan juga kejuaraan dunia GP bersama pasukan SIC Racing-MSI.

Dalam pada itu, Azhan Shafriman berkata kejohanan duathlon yang bakal diadakan pada 16 November  ini merupakan antara acara sukan berskala besar yang pernah diadakan selain sukan permotoran.

Beliau berkata SIC kini lebih terbuka untuk menjadi venue kepada aktiviti sukan lain berbanding hanya tertumpu kepada sukan permotoran. 

“Kalau nak ikutkan dari segi penyertaan terbesar, ini yang pertama kali, tetapi pada 2015 kita ada satu duathlon tetapi penyertaan begitu terhad. Jadi ia bukan kali pertama, tetapi kali pertama untuk penyertaan terbesar.

“Ini salah satu cabang yang kita ingin lakukan di SIC dan mungkin selepas ini ada acara lain yang akan masuk,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan