EKONOMI

ANGGARAN KDNK SUKU KEDUA TANDA PERTUMBUHAN YANG MENJANJIKAN UNTUK MALAYSIA

19/07/2024 06:30 PM

Oleh Nurul Jannah Kamaruddin 

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Berdasarkan penunjuk ekonomi yang terus memberi gambaran yang memberangsangkan, keyakinan keatas pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah melonjak dan penganalisis percaya ekonomi mampu berkembang melebihi unjuran awal 4.0 hingga 5.0 peratus tahun ini.

Keyakinan yang meningkat ini berpunca daripada anggaran pertumbuhan KDNK suku kedua sebanyak 5.8 peratus, yang melepasi jangkaan pasaran.

 Unjuran pertumbuhan KDNK oleh UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd adalah antara yang paling hampir pada 5.3 peratus, menurut Ketua Penyelidikan Pelaburannya, Mohd Sedek Jantan.

“Kami akan menyemak semula keseluruhan jangkaan KDNK 2024 kami selepas data sebenar dikeluarkan. Jika KDNK suku kedua benar-benar melepasi 5.0 peratus, kami meramalkan KDNK keseluruhan Malaysia untuk tahun ini berada dalam jajaran 4.8 hingga 5.2 peratus,” katanya kepada Bernama.

Mohd Sedek mengaitkan unjuran KDNK suku kedua UOB Kay Hian Wealth Advisors lebih tinggi kepada kesan asas yang rendah, membina momentum pertumbuhan mantap yang dilihat pada suku pertama 2024.

“Beberapa petunjuk ekonomi menyokong prospek kami yang agak optimistik. Data Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Malaysia menunjukkan pemulihan yang mampan dan aliran menaik semasa suku kedua, dengan bacaan 49.0, 50.2 dan 49.9.

"Sektor pembuatan menunjukkan pertumbuhan keluaran yang stabil, disokong oleh pecutan dalam industri berorientasikan eksport, yang berkembang sebanyak 3.7 peratus berbanding 2.6 peratus pada April 2024," katanya.

Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia (IPI) turut mencerminkan pertumbuhan tahunan melangkaui 4.0 peratus pada Mei serta Jun, berbanding 2.0-3.0 peratus dari Januari hingga Mac.

Beliau berkata Petunjuk Utama (LI), yang telah menokok bagi bulan kelima berturut-turut, juga mencadangkan pertumbuhan ekonomi dan momentum yang berterusan.

Keyakinan terhadap KDNK suku kedua juga disokong oleh peningkatan berterusan dalam data imbangan perdagangan dari April hingga Jun, yang berjumlah RM7.7 bilion pada April, RM10 bilion pada Mei dan RM14.3 bilion pada Jun.

“Pelaburan langsung asing (FDI), khususnya dalam pusat data, telah muncul sebagai pemangkin utama ekonomi Malaysia tahun ini, mengukuhkan keyakinan kami bahawa keseluruhan KDNK Malaysia untuk 2024 akan memenuhi jangkaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ekonomi juga pada dasarnya telah mencapai status guna tenaga penuh, bermakna lebih ramai orang bekerja dan menerima pendapatan tetap.

“Ini akan membolehkan mereka berbelanja dan menyumbang kepada ekonomi secara positif.

"Kami juga telah melihat lonjakan dalam pertumbuhan pembinaan, pada kadar dua digit, ini memberikan kami gambaran bahawa aktiviti pelaburan semakin bertambah," katanya lagi.

Oleh itu, beliau percaya terdapat potensi pertumbuhan KDNK untuk melebihi paras 5.0 peratus tahun ini.

“Bagi dasar monetari, saya rasa pendirian semasa adalah wajar dan oleh itu, kami menjangkakan kadar dasar semalaman (OPR) akan kekal pada paras semasa iaitu 3.0 peratus.

 “Kemungkinan kenaikan OPR adalah sesuatu yang tidak boleh kita tolak. Tetapi buat masa ini, nampaknya 3.0 peratus adalah yang terbaik untuk ekonomi,” katanya.

Mohd Afzanizam menambah secara keseluruhan, data domestik yang positif sepatutnya menyokong ringgit memandangkan Bank Negara Malaysia tidak mungkin akan mengubah dasarnya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan