AM

KEMENTERIAN DIGITAL PANTAU, AMBIL LANGKAH TANGANI ISU GANGGUAN IT

19/07/2024 10:54 PM

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Kementerian Digital sedang memantau rapat situasi berkaitan gangguan perkhidmatan sistem teknologi maklumat (IT) di seluruh dunia hari ini, yang dilaporkan menjejaskan banyak syarikat penerbangan, perniagaan dan organisasi.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata kementerian itu telah menerima beberapa laporan gangguan dan kini dalam proses pembaikan.

“Segala langkah sedang diambil bagi menangani masalah ini dan menyelesaikannya dengan kadar segera,” katanya menerusi hantaran dalam media sosial X hari ini.

Terdahulu, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) ​​dalam kenyataan turut memaklumkan gangguan yang menjejaskan pengguna Microsoft di seluruh dunia termasuk Malaysia itu telah memberi kesan kepada pelbagai sektor kritikal seperti saluran televisyen, lapangan terbang dan bank.

Terdahulu, media melaporkan bahawa institusi utama seperti syarikat penerbangan, bank, saluran media dan hospital di beberapa negara terjejas akibat gangguan siber itu. 

Gangguan IT terbabit dikaitkan dengan firma keselamatan siber global Crowdstrike. CrowdStrike Holdings Inc ialah sebuah syarikat teknologi keselamatan siber Amerika yang berpangkalan di Austin, Texas, yang menyediakan beban kerja penembusan dan keselamatan titik akhir, risikan ancaman dan perkhidmatan serangan siber.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan