EKONOMI

SUNWAY MALLS LANCAR KEMPEN "CHEERS TO 50", RAIKAN ULANG TAHUN KE-50

20/07/2024 12:10 AM

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Sunway Malls dengan kerjasama United Overseas Bank (UOB) dan Sime Darby Motors melancarkan kempen "Cheers to 50" hingga 4 Ogos ini, bersempena dengan ulang tahun ke-50 Kumpulan Sunway.

Sunway Malls dalam kenyataan malam ini memaklumkan sepanjang kempen itu, pengunjung berpeluang mendapat ganjaran dengan berbelanja sepuas hati, menikmati pelbagai kelebihan daripada Aplikasi Sunway Malls, terlibat dalam aktiviti interaktif unik dan banyak lagi.

Pelancaran kempen itu di pusat beli-belah Sunway Pyramid dekat sini dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Malls dan Taman Tema HC Chan dan Pengurus Besar Kanan Sunway Pyramid, Sunway Giza dan Sunway Square Jason Chin serta pihak pengurusan tertinggi Sunway Malls.

Chan dalam kenyataan sama berkata ia merupakan peristiwa penting ketika Kumpulan Sunway meraikan ulang tahun ke-50 apabila syarikat itu telah mengisi hampir semua aspek kehidupan, dipandu oleh amalan melakukan kebaikan untuk berjaya.

"Sebagai satu daripada 13 bahagian perniagaan, Sunway Malls berbesar hati memainkan peranan dalam memberikan pengalaman Sunway kepada pelbagai komuniti di seluruh negara," katanya.

Menurut kenyataan itu, sebagai sebahagian daripada sambutan jubli emas, pengunjung boleh membeli-belah, menikmati hidangan dan hiburan seharian kerana Sunway Malls memberikan tempat letak kenderaan secara percuma selama dua hari iaitu pada 20 dan 21 Julai tanpa sebarang keperluan perbelanjaan.

"Pengunjung juga akan mendapat ganjaran eksklusif bernilai hingga RM1 juta. Setiap pembelian minimum dengan pelbagai resit akan melayakkan mereka mendapatkan tumbler Cheers to 50 edisi terhad, baucar tunai daripada Diamond & Platinum, Thai Odyssey, kad hadiah daripada Switch, Jaya Grocer, kod langganan daripada WeTV dan banyak lagi,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, setiap penebusan secara automatik membolehkan pembeli menyertai Cabutan Bertuah dan berpeluang memenangi hadiah eksklusif seperti kenderaan elektrik  BYD DOLPHIN, kerusi urut oleh Ogawa Master Drive AI dan pengembaraan tanpa had dengan ASEAN Explorer Pass oleh AirAsia MOVE.

Ahli Sunway Super App juga layak mendapatkan satu putaran tambahan setelah memenuhi kriteria perbelanjaan serta menikmati keistimewaan seperti memperoleh hingga 15 kali mata Sunway Points, tawaran serendah RM5 Sunway Points, rebat tunai hingga RM500 dan diskaun hingga 50 peratus untuk pelbagai barangan.

"Menambahkan lagi keterujaan ialah Super Rewards Fiesta oleh Sunway Super App yang berlangsung sekarang hingga 31 Ogos di seluruh pusat beli-belah Sunway dengan penyertaan 700 peniaga seperti BONIA, Kate Spade, Laura Mercier, Sports Direct dan Poh Kong,” menurut kenyataan itu.

Pengunjung boleh menyertai pertandingan foto di setiap platform sosial Sunway Malls hingga 28 Julai untuk memenangi tiket percuma dan menonton filem yang dinanti-nantikan, pemenang akan diumumkan selepas tamat tempoh pertandingan dengan sepasang tiket untuk menonton wayang di TGV Cinemas atau Golden Screen Cinemas (GSC) pada 4 Ogos. 

Layari laman web Sunway Malls https://www.sunwaymalls.com/cheers-to-50 untuk maklumat lanjut.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan