SUKAN

SUKMA: CI HUI TIDAK TERTEKAN JADI SANDARAN MENANG EMAS

22/07/2024 09:07 AM

IPOH, 22 Julai (Bernama) -- Pelumba basikal Perak Nyo Ci Hui, 20, tidak berdepan sebarang tekanan meskipun diletakkan sebagai sandaran memenangi pingat emas bagi acara ujian masa individu (ITT) wanita dalam penampilan terakhirnya di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 pada 17 hingga 24 Ogos ini.

Atlet kebangsaan berusia 20 tahun itu berkata meskipun ITT bukan acara kegemarannya, namun beliau pernah merangkul pingat perak dalam acara itu pada temasya sama di Kuala Lumpur, dua tahun lepas.

"Acara kegemaran saya adalah perlumbaan scratch, namun disebabkan ia tidak dipertandingkan pada SUKMA kali ini maka penumpuan utama adalah kepada (acara) ITT.

"Saya yakin sasaran itu akan dapat dicapai berdasarkan prestasi semasa selain pelumba basikal yang memenangi acara ITT pada edisi lalu di Kuala Lumpur tidak akan menyertai temasya kali ini disebabkan melebihi had umur," katanya ketika ditemui Bernama, baru-baru ini. 

SUKMA edisi kali ini menjadi penampilan ketiga Ci Hui selepas edisi di Perak pada 2018, selain Kuala Lumpur 2022 yang menjelmakan pencapaian terbaiknya menggondol satu emas (scratch), satu perak (ITT) serta dua gangsa menerusi acara pecut berpasukan serta 3 kilometer (km) kejar-mengejar individu.

Di peringkat antarabangsa, Olahragawati Perak 2021/2022 berasal dari Chemor itu pernah memenangi emas menerusi acara scratch dan perak menerusi acara omnium and pecut berpasukan dalam Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2022.

Pada edisi kali ini, Ci Hui menjangkakan saingan sengit dalam acara ITT akan diberikan oleh pelumba dari Johor dan Kuala Lumpur yang merupakan rakan sepelatihya dalam pasukan negara.

"Masing-masing tahu kekuatan dan kelemahan masing-masing, namun saya percaya saingan seumpama ini mampu menambahkan lagi kekuatan saya untuk memburu pingat emas," katanya yang turut menyertai acara lebuh raya dan kriterium. 

Mengulas tentang persiapannya, pelajar Universiti Nilai dalam jurusan Asasi Perniagaan itu berkata ketika ini latihan diadakan dalam dua sesi iaitu sebelah pagi dan petang, selain melibatkan kayuhan melebihi jarak 100 km setiap hari.

"Memang penat (latihan) cuma untuk menang sesuatu kejohanan besar itu memerlukan pengorbanan tak kira sama ada dari segi tenaga, masa atau wang ringgit. Tiada jalan pintas untuk berjaya," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih basikal Perak Hishamuddin Mohd Zaki berkata pihaknya menyasarkan satu pingat emas dan dua perak dibawa pulang pada temasya kali ini membabitkan acara ITT, lebuh raya dan kriterium.

Jurulatih berusia 52 tahun itu berkata seramai 10 atlet berbasikal Perak akan menyertai SUKMA Sarawak membabitkan tujuh lelaki dan tiga wanita dalam lingkungan usia 20 dan 21 tahun.

"Sudah tentu harapan besar (pingat emas) kita letakkan kepada Ci Hui dalam acara ITT, namun pelumba lain juga saya harap dapat mencipta kejutan, sekali gus muncul sebagai juara.

"Melalui persiapan pula, bagi saya ia sudah menghampiri 100 peratus cuma tinggal perkemaskan kelemahan-kelemahan kecil yang kita nampak untuk hari-hari terakhir sebelum berangkat ke Sarawak," katanya.

Selain itu, Hishamuddin berharap para pelumba sentiasa fokus dan bersungguh-sungguh memberikan saingan sengit dalam pertandingan tersebut.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan