EKONOMI

LANTIK BADAN PENJAGA ADALAH LANGKAH TERBAIK UNTUK PENGAWASAN FSF - AZMAN HASHIM

22/07/2024 02:47 PM

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Melantik sebuah badan penjaga adalah langkah terbaik untuk pengawasan Rangka Kerja Kemahiran Masa Depan (FSF) bagi tempoh jangka panjang, kata Pengerusi Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) Tan Sri Azman Hashim.

Beliau berkata membentuk badan dianggotai golongan pakar dalam kalangan pemegang kepentingan kewangan untuk berkongsi amalan terbaik akan memainkan peranan penting dalam memajukan FSF sebagai sumber termaju.

“Saya membayangkan FSF menjadi rujukan utama untuk pembangunan kemahiran kewangan di Asia dengan Malaysia muncul sebagai hab serantau untuk kemahiran.

"Di sinilah potensi untuk pembangunan program pembelajaran standard dan platform pertukaran pengetahuan di rantau ini," katanya ketika menyampaikan ucapan pada pelancaran FSF untuk sektor kewangan di sini.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong dan Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Abdul Rasheed Ghaffour.

Azman menekankan bahawa FSF berperanan sebagai asas untuk penyesuaian oleh institusi kewangan bagi memenuhi keperluan pengurusan bakat yang unik.

FSF akan membentuk rangka kerja strategik yang menetapkan piawaian untuk membangunkan tenaga kerja yang lebih mudah disesuaikan.

'Ia memperkasakan individu untuk berprestasi cemerlang dan mencapai matlamat profesional melalui pembelajaran dan pilihan kerjaya yang lebih bermaklumat," katanya.

Azman berkata untuk memupuk pekerja bernilai tinggi menerusi program pembinaan kapasiti FSF, kemahiran utama yang dikenal pasti bertujuan untuk melengkapkan individu dengan kecekapan teknikal dan teknologi, kebolehsuaian operasi dan kepintaran berinteraksi.

FSF berfungsi sebagai sumber yang akan dikemas kini secara berkala selaras dengan dinamik pasaran, katanya.

"Selepas pelancaran ini, FSF boleh diakses secara terbuka di tapak web AICB, Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) dan Institut Insurans Malaysia (MII),” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan