AM

JELEBU BERPOTENSI PENGELUAR DURIAN UTAMA - JALALUDDIN

22/07/2024 06:47 PM

SEREMBAN, 22 Julai (Bernama) -- Beberapa kawasan di Jelebu dikenal pasti bagi projek awal penanaman durian, sebagai langkah menjadikan daerah itu pengeluar terbesar ‘raja buah’ tersebut untuk  eksport.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata untuk itu sebahagian Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) disarankan menanam durian selain penglibatan pekebun kecil yang mempunyai tanah yang boleh diusahakan.

“Pelbagai jenis durian berkualiti ditanam di dusun di daerah ini antaranya Musang King, Tekka, Black Thorn, IOI, dan D24. 

“Saya jangka dalam tempoh lima ke enam tahun nanti, Jelebu berpotensi menjadi daerah pengeluaran durian berkualiti dan kita juga bercadang mewujudkan sebuah kilang pemprosesan durian,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Institusi Pendidikan MARA Negeri Sembilan 2024 di sini hari ini.

Jalaluddin berkata semua itu dalam proses perbincangan dan program melatih penanaman durian juga perlu dilaksanakan

Beliau turut mencadangkan projek penanaman durian itu dilaksanakan di kawasan Perbadanan Menteri Besar (MBI).

-- BERNAMA



 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan