AM

OP CARILAMAT KAPAL TANGKI MT HAFNIA NILE, MT CERES 1 TAMAT

22/07/2024 08:08 PM

KOTA TINGGI, 22 Julai (Bernama) -- Operasi Mencari dan Menyelamat (Op Carilamat) insiden pelanggaran kapal tangki MT Hafnia Nile dan MT Ceres 1 ditamatkan pada 1 tengah hari tadi dengan kedua-dua kapal tangki itu ditunda ke kawasan selamat di kedudukan 20 batu nautika timur Tanjung Sedili di sini.

Pemangku Pengarah Maritim Negeri Johor Kepten Maritim Kama Azri Kamil berkata langkah itu bagi membolehkan siasatan lanjut termasuk punca insiden dilakukan oleh pihak Jabatan Laut Wilayah Selatan.

Beliau dalam pada itu berkata hasil pemantauan pihak Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru mendapati kebakaran di kedua-dua kapal tangki tersebut telah dapat dikawal dan dipadam sepenuhnya dengan kesemua kru terselamat.

"Kesemua 22 kru MT Hafnia Nile serta 14 kru MT Ceres 1 berada dalam keadaan selamat dan stabil di Singapura.

"Baki 26 kru yang berada di atas kapal MT Ceres 1 juga disahkan selamat berdasarkan laporan daripada nakhoda kapal terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau berkata pengurusan kawalan tumpahan minyak yang dikesan di sekitar lokasi insiden berkenaan akan dikoordinasi pihak Jabatan Alam Sekitar.

Kama Azri pada masa sama menjelaskan MRSC Johor Bahru bertanggungjawab dalam mengkoordinasi Op Carilamat di perairan Johor timur yang berkeluasan 10,445 kilometer persegi dengan panjang pantai sejauh 254 kilometer.

Sehubungan itu, beliau berkata MRSC Johor Bahru merakamkan ucapan penghargaan kepada semua pihak dan agensi yang terlibat dalam operasi tersebut di perairan negara.

MT Hafnia Nile berdaftar di Singapura dan MT Ceres 1 berdaftar di Republik Demokratik Sao Tome dan Principe, terlibat dalam insiden pelanggaran di 25 batu nautika Timur Laut Tanjung Balau di sini pada 6.55 pagi Jumaat.

Bagaimanapun, MT Ceres 1 gagal dikesan keesokan harinya selepas meninggalkan lokasi kejadian dan menutup Sistem Pengenalan Automatik (AIS) sebelum dijumpai kapal peronda luar pesisir Maritim Malaysia pada kedudukan 28 batu nautika timur laut Pulau Tioman ketika sedang ditunda dua bot tunda dipercayai dari Singapura sekitar jam 1.20 tengah malam, Ahad.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan