AM

JAGDEEP SAHKAN SEDANG BERCUTI UNTUK RAWATAN BUKU LALI

22/07/2024 08:59 PM

GEORGE TOWN, 22 Julai (Bernama) -- Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo mengesahkan bahawa beliau kini sedang bercuti untuk mendapatkan rawatan buku lali.

Menafikan dakwaan kononnya beliau diarahkan bercuti daripada menjalankan tugas pentadbiran negeri, Jagdeep ketika dihubungi Bernama memberitahu bahawa beliau mengambil sendiri cuti sehingga hujung minggu ini, bagi rawatan tersebut.

“Saya sedang bercuti sahaja. Saya ada pemeriksaan buku lali, keutamaan saya nak buat rawatan. Ketua Menteri (Chow Kon Yeow) beri (kelulusan) saya bercuti,” katanya.

Jagdeep, 53, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, telah dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang sejak Ogos tahun lepas.

Terdahulu, media melaporkan Jagdeep dinasihatkan ‘bercuti’ bermula hari ini bagi menyelesaikan 'masalah peribadi' beliau.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan