AM

DUA REMAJA LELAKI CEDERA RINGAN TERKENA SERPIHAN BATU BATA

22/07/2024 09:22 PM

IPOH, 22 Julai (Bernama) -- Dua remaja lelaki cedera ringan selepas terkena serpihan batu bata yang jatuh akibat daripada runtuhan dinding Pasar Raya Besar Mydin Manjoi, di sini hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut, kira-kira 4.45 petang selain melibatkan kedua-dua mangsa yang dianggarkan berusia 15 tahun.

Beliau berkata runtuhan melibatkan dinding sebelah kanan iaitu bersebelahan Pejabat Daerah dan Tanah Kinta di sini dan melibatkan sebuah motosikal yang sedang melalui jalan bersebelahan pasar raya itu.

“Kejadian melibatkan dua mangsa yang menaiki motosikal melalui kawasan tersebut, mengalami kecederaan ringan akibat terkena serpihan batu bata runtuhan. Makluman dari orang awam, mangsa telah dibawa ke hospital oleh orang awam dan maklumat mangsa tidak diketahui,” katanya dalam kenyataan.

Pada 10 Mac, pasar raya tersebut telah terbakar dan berpunca daripada kerosakan panel pembahagi elektrik di bangunan itu.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan