DUNIA

MESIR SERU TINDAKAN BERHEMAH DAN TENANG DI TENGAH-TENGAH KETEGANGAN DI GAZA DAN YAMAN

22/07/2024 09:51 PM

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Mesir mengikuti dengan penuh kebimbangan operasi ketenteraan Israel di wilayah Yaman dan "menyeru tindakan berhemah dan tenang serta menamatkan perang di Semenanjung Gaza."

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Negeri Mesir pada Sabtu (20 Julai) menyatakan kebimbangan mendalam terhadap operasi ketenteraan itu sambil menambah bahawa ia "meningkatkan tahap ketegangan semasa di semua pihak."

Kementerian itu berkata Mesir menekankan "kepentingan menyokong usaha antarabangsa untuk melindungi keselamatan dan kestabilan rantau ini."

Ia memberi amaran "tentang bahaya memperluas kawasan konflik di rantau ini akibat perkembangan krisis Semenanjung Gaza, yang boleh mendorong seluruh rantau ke dalam kitaran konflik dan ketidakstabilan yang tidak berkesudahan."

Republik Arab itu menyeru "semua pihak untuk menahan diri, bertenang dan mengelakkan daripada terjerumus ke dalam kekacauan serantau," dan menuntut agar "semua pihak di peringkat serantau dan antarabangsa menunaikan tanggungjawab mereka untuk menamatkan perang Israel di Gaza sebagai punca utama ketegangan dan eskalasi serantau semasa."

Mesir mengulangi pendiriannya yang tegas dan menyeru gencatan senjata segera di Semenanjung Gaza serta membenarkan bantuan kemanusiaan mengalir tanpa sebarang halangan ke kawasan berkenaan.

"...memandangkan ini adalah langkah utama dan perlu untuk meredakan ketegangan dan asas utama bagi pengisytiharan ketenangan menyeluruh di rantau ini serta pemeliharaan keselamatan dan kestabilan serantau," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan