AM

YANG DIPERTUA DEWAN RAKYAT LAWAT DUN SEMENANJUNG MALAYSIA MULAI ESOK

22/07/2024 10:29 PM

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul akan mengadakan lawatan kerja ke Dewan Undangan Negeri (DUN) di Semenanjung Malaysia mulai esok hingga 13 Ogos sempena Pra-Persidangan Speaker-speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Se-Malaysia Tahun 2024 yang dijadualkan pada September nanti.

Parlimen Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan lawatan itu bagi mempertingkatkan dialog dan pertukaran pandangan antara Johari dengan Speaker-speaker DUN di Semenanjung Malaysia serta mengenal pasti cabaran dalam pengurusan sidang DUN dan memperkasakan institusi legislatif negara.

“Ini akhirnya disasarkan akan membangun institusi legislatif yang berkesan, bertanggungjawab serta telus di samping memastikan proses pembuatan keputusan yang responsif, inklusif serta mempunyai penyertaan dan perwakilan di semua peringkat.

“Merakyatkan Parlimen’ juga merupakan agenda utama Parlimen Malaysia dan wawasan Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk memastikan agar rakyat Malaysia meneladani konsep kenegaraan termasuk fungsi utama institusi legislatif dan peranan Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam proses penggubalan undang-undang,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa lawatan kerja itu akan dimulakan dengan pertemuan Johari dengan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusof serta Speaker DUN Melaka Datuk Ibrahim Durum, esok.

 Pada Rabu, Johari akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Speaker DUN Negeri Sembilan Datuk MK Ibrahim Abd Rahman.

 -- BERNAMA

 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan