DUNIA

RINGGIT DIBUKA TINGGI BERBANDING DOLAR AS SERTA MATA WANG UTAMA

23/07/2024 09:21 AM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan sekumpulan mata wang utama lain pada Selasa ketika peserta pasaran menunggu pengumuman mengenai inflasi Malaysia, kata penganalisis.

Pada 8 pagi, ringgit meningkat kepada 4.6780/6850 berbanding dolar AS daripada 4.6805/6835 ketika ditutup pada Isnin.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dijadual mengumumkan data Indeks Harga Pengguna (IHP) pada Rabu untuk mengukur kesan rasionalisasi subsidi bahan api.

“Unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih kukuh bagi suku kedua 2024 berbanding jangkaan pasaran menunjukkan ekonomi kekal berdaya tahan walaupun ada kebimbangan mengenai peningkatan kos sara hidup.

“Ini memberi gambaran bahawa bank pusat Malaysia tidak akan menyertai langkah sekumpulan bank pusat lain mengenai pelonggaran dasar monetari, ini kerana pendirian dasar semasa kekal menyokong pertumbuhan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata ringgit boleh kekal pada paras semasa memandangkan beberapa peristiwa global sedang berlaku dan peserta pasaran menunggu pengumuman mengenai IHP.

Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata di peringkat global, pengurangan kadar faedah mengejut di China menunjukkan ekonomi kedua terbesar dunia itu memerlukan sokongan untuk mengekalkan sasaran pertumbuhan lima peratus tahun ini selepas KDNK suku kedua 2024 susut kepada 4.7 peratus.

Pada masa sama, Naib Presiden AS Kamala Harris semakin mendapat sokongan daripada parti Demokrat untuk bertanding dalam pilihan raya Presiden pada November.

“Indeks Dolar AS (DXY) turun sedikit sebanyak 0.08 peratus kepada 104.314. Kempen pilihan raya itu masih perlu diikuti untuk melihat sama ada beliau akan memenangi pilihan raya Presiden atau sebaliknya, namun buat masa ini, keadaan dilihat positif untuk dolar,” katanya.

Sementara itu, ringgit mengukuh berbanding beberapa mata wang utama.

Mata wang tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9809/9858 daripada 2.9869/9892 ketika ditutup pada Isnin, serta tinggi berbanding pound British kepada 6.0487/0577 daripada 6.0514/0553.

Unit domestik lebih stabil berbanding euro kepada 5.0939/1015 daripada 5.0971/1003 semalam.

Ringgit juga diniagakan lebih kukuh berbanding mata wang negara ASEAN, kecuali peso Filipina.

Mata wang tempatan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.01/8.03.

Ringgit tinggi berbanding rupiah Indonesia kepada 288.3/288.9 daripada 288.5/288.8 semalam, dan naik berbanding baht Thailand kepada 12.8746/9021 daripada 12.8975/9118.

Unit tempatan juga diniagakan tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.4755/4809 daripada  3.4804/4829 semalam.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan