AM

AGENSI DI BAWAH KUSKOP DICADANG ANJUR PROGRAM KEUSAHAWAN MAHASISWA - RAMANAN

23/07/2024 02:41 PM

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan akan memastikan semua agensi di bawah kementeriannya menganjurkan program khas keusahawan yang menyasarkan golongan mahasiswa. 

Mengambil contoh kejayaan program Bank Rakyat UNIprenuer 3.0 beliau berkata, pihaknya ingin memastikan setiap mahasiswa yang mengambil bidang perniagaan di institut pengajian tinggi supaya mempunyai platform perniagaan sejurus tamat pengajian. 

“Saya akan bawa perkara ini untuk berbincang dengan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Seri Suriani Ahmad dan menterinya Datuk Ewon Benedick. 

“Cara pelaksanaan dan strategi yang digunakan di dalam Bank Rakyat Uniprenuer 3.0 ini, mereka tidak diajar bagaimana nak dapat ikan, tetapi mereka diajar bagaimana nak tangkap ikan. Ia adalah latihan secara langsung dan langkah demi langkah dan mereka akan tolong untuk mengembangkan perniagaan serta cara memperbaikkan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Program RAKYATpreneur 4.0 dan Bank Rakyat UNIprenuer 3.0 di sini, hari ini.

Beliau berkata Bank Rakyat UNIpreneur 3.0 menunjukkan kesedaran melibatkan keseluruhan 500 usahawan dalam kalangan asnaf dari aspek pemerkasaan kewangan, dengan 90 peratus atau seramai 451 peserta mempunyai simpanan secara bulanan.

“Lebih membanggakan, mereka ini juga telah memanfaatkan platform digital untuk menjana pendapatan iaitu 53.8 peratus atau 269 peserta menjalankan perniagaan secara dalam talian dan 67 peratus atau 335 peserta menggunakan transaksi secara digital,” katanya.

Ramanan berharap semua agensi di bawah KUSKOP dapat melaksanakan lebih banyak program keusahawanan bagi golongan mahasiswa sekali gus memastikan peluang pekerjaan yang lebih cerah buat mereka.

Beliau berkata program RAKYATpreneur 4.0 membabitkan 300 usahawan telah menunjukkan prestasi yang positif, dengan 63 peratus atau seramai 189 peserta mencatatkan peningkatan jualan sepanjang tempoh enam bulan program itu berlangsung. 

“Selain itu, 69 peratus atau 208 peserta telah mula mempunyai wang simpanan daripada hasil jualan masing-masing serta 62 peratus atau 187 peserta menyediakan peluang pekerjaan kepada komuniti setempat,” katanya. 

Program Program RAKYATpreneur dan Bank Rakyat UNIprenuer 3.0 katanya, berjaya membantu seramai 1,833 usahawan dan siswa asnaf dengan dana sumbangan keseluruhan sebanyak RM6.63 juta sejak lebih tiga tahun penganjurannya.

Selain itu, ia juga terpilih sebagai kajian kes dalam laporan Tracking Progress: Impact Monitoring of Social Finance oleh World Bank Group pada 2023. 

-- BERNAMA 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan