AM

PENDAFTARAN PERTANDINGAN ROBOT TEMPUR MALAYSIA 2024 KINI DIBUKA

23/07/2024 03:39 PM

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Pendaftaran untuk Pertandingan Robot Tempur Malaysia 2024 yang bertemakan 'Terus Berjuang' kini dibuka sehingga 15 Ogos depan. 

Pengarah Pusat Sains Negara (PSN) Mohammad Fuad Rahman berkata pertandingan itu bertujuan membangkitkan minat terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) khususnya dalam bidang robotik.

Beliau berkata PSN yang merupakan agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berharap golongan belia mengambil peluang untuk menyertai pertandingan itu yang menjadi platform utama untuk mempamerkan kreativiti dan kemahiran dalam penghasilan robot tempur.

"Ini adalah peluang emas untuk golongan belia mengasah bakat mereka serta memperoleh pengalaman praktikal dalam dunia teknologi," katanya dalam kenyataan di sini. 

Mohammad Fuad berkata pertandingan itu terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya golongan belia daripada pelbagai institusi serta komuniti robotic dan pendaftaran tamat pada 12 tengah hari, 15 Ogos. 

Beliau berkata juara pertandingan akan menerima piala pusingan dan wang tunai RM10,000, naib juara RM7,000 manakala tempat ketiga RM5,000.

Peserta juga berpeluang memenangi hadiah Rekabentuk Terbaik Hibiscus dan Kejuruteraan Terbaik Hibiscus yang masing-masing menawarkan hadiah wang tunai RM500. 

“PSN amat berbesar hati dengan sokongan Syarikat Hibiscus Petroleum Berhad sebagai penaja hadiah tahun ini.

"Kerjasama strategik antara kerajaan dan pihak swasta ini memberikan impak yang lebih besar kepada pertandingan serta menambah kemeriahan acara pada tahun ini,” katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai syarat penyertaan dan pendaftaran boleh melayari laman web Pusat Sains Negara di  https://www.psn.gov.my/rt/ atau Facebook Pusat Sains Negara.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan