SUKAN

KEPUTUSAN SEPAK TAKRAW KEMBALI DALAM SUKAN TERAS SELEPAS PARIS 2024 - HANNAH

23/07/2024 07:02 PM

PUTRAJAYA, 23 Julai (Bernama) -- Sebarang keputusan sama ada sepak takraw akan disenaraikan semula sebagai sukan teras atau tidak, akan diketahui selepas Sukan Olimpik 2024 di Paris berakhir.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata keputusan tersebut akan ditentukan Majlis Sukan Negara (MSN), yang ketika ini sedang sibuk menghadapi temasya sukan dunia itu, bermula Jumaat hingga 11 Ogos ini.

“Keputusan akan ditentukan dalam tahun ini juga dengan secepat mungkin selepas Sukan Olimpik. Kita tahu sukan sepak takraw sangat popular dalam kalangan komuniti sama ada di dalam mahupun luar bandar, sehinggakan semasa penganjuran Piala Dunia Sepak Takraw 2024 sebelum ini tiket habis dijual dan tontonan dalam talian juga tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sesi Perbincangan Meja Bulat Pembudayaan Sukan dalam Kalangan Warga Emas Siri II Tahun 2024 di sini, hari ini.

Sepak takraw, angkat berat dan taekwondo merupakan tiga sukan digugurkan MSN daripada senarai sukan teras negara pada 2017, berikutan prestasi buruk serta tidak menunjukkan peningkatan berdasarkan semakan semula, termasuk kajian mendalam terhadap prestasi ketiga-tiga sukan itu sejak 2007.

Pada 22 Mei, skuad sepak takraw kebangsaan mencipta sejarah menamatkan penguasaan Thailand selepas menewaskan pasukan negara itu pada pertandingan akhir acara regu dan double, masing-masing dengan keputusan 2-0 ketika Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di ibu negara.

Mengenai permintaan pembinaan stadium oleh Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Hannah berkata pihaknya terbuka mengadakan kerjasama dengan pemilik aset bagi menjadikannya venue khas untuk sukan sepak takraw, selain menyeru pihak swasta membina fasiliti baharu yang boleh digunakan untuk tujuan latihan sukan.

“PSM ada minta Stadium Titiwangsa tapi itu bukan milik Kementerian Belia dan Sukan tapi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, jadi ini semua memerlukan perbincangan dengan pemilik kerana mereka takkan serahkan aset kepada semua jenis sukan. Sukan tempur pun digunakan di Stadium Titiwangsa.

“Selain itu, perbincangan juga boleh diadakan dengan mall yang banyak tempat sesuai untuk latihan terutamanya bagi sukan dalam dewan yang hanya perlukan gelanggang sahaja,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hannah berkata kementeriannya sedang dalam usaha melaksanakan projek perintis menganjurkan temasya sukan khusus untuk warga emas, hujung tahun ini.

Beliau berkata temasya sukan yang bakal diadakan di Bukit Jalil itu terbuka bagi warga emas berumur 60 tahun dan ke atas, manakala MSN akan mengumumkan jenis sukan dipertandingkan tidak lama lagi.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan