EKONOMI

BURSA MALAYSIA MELANTUN SEMULA UNTUK DITUTUP TINGGI SUSULAN AKTIVITI BELIAN

23/07/2024 07:05 PM

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia melantun semula daripada penurunan semalam untuk ditutup tinggi hari ini disokong oleh pembelian saham dalam kaunter mewah di tengah-tengah prestasi lemah bursa serantau lain, kata Rakuten Trade Sdn Bhd.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 7.61 mata atau 0.47 peratus kepada 1,629.68 daripada paras penutup 1,622.07 pada Isnin.

Indeks utama itu yang dibuka tinggi naik 3.16 mata kepada 1,625.23, bergerak antara paras 1,625.23 dan 1,632.50 sepanjang hari dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 685 berbanding 458, dengan 502 kaunter tidak berubah, 826 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.

Jumlah dagangan menyusut kepada 5.11 bilion unit bernilai RM3.59 bilion daripada 5.34 bilion unit bernilai RM3.42 bilion pada Isnin.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI melantun semula apabila para pelabur kembali membeli saham mewah selepas aktiviti pengambilan untung besar-besaran semalam.  

“Di dalam negara, kita mengambil pendekatan berhati-hati mengenai hala tuju jangka pendek pasaran tempatan disebabkan faktor luaran dan ketidaktentuan global yang semakin meningkat.

“Bagaimanapun, kami masih yakin dengan prospek jangka panjang, disokong oleh asas yang kukuh dan harga saham yang menarik,” katanya kepada Bernama.

Thong menjangka indeks petunjuk pasaran diniagakan dalam jajaran 1,610-1,640 bagi tempoh berbaki minggu ini.

Sementara itu, indeks utama serantau ditutup kebanyakannya rendah apabila aktiviti pengambilan untung masih berterusan di bursa tertentu manakala minat belian masih tertumpu kepada saham teknologi. 

Dalam kalangan saham wajaran tinggi di Bursa Malaysia, Maybank naik 4.0 sen kepada RM10.10, CIMB Group meningkat 8.0 sen kepada RM7.20, IHH Healthcare menokok 5.0 sen kepada RM6.31, Public Bank menambah 1.0 sen kepada RM4.20 manakala Tenaga Nasional tidak berubah pada RM14.44.

Dalam kalangan saham cergas, Hubline naik 2.0 sen kepada 12.5 sen, Velesto Energy menokok 1.0 sen kepada 24 sen, Well Chip Group yang memulakan dagangan sulungnya di Pasaran Utama hari ini melonjak 57.0 sen kepada RM1.72, Zen Tech International tidak berubah pada 1.5 sen manakala Ekovest berkurangan 7.0 sen kepada 49 sen.

Di papan indeks, Indeks  FBM Emas meningkat 77.03 mata kepada 12,624.54, Indeks  FBMT 100 naik 72.95 mata kepada12,200.22, Indeks FBM Emas Shariah menokok 67.02 mata kepada 12,974.61, Indeks  FBM 70 melonjak 170.88 mata kepada 18,848.46 manakala Indeks FBM ACE naik 21.14 mata kepada 5,912.06.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan mengukuh 73.32 mata kepada 17,974.14, Indeks produk dan perkhidmatan perindustrian naik 1.50 mata kepada 196.45, dan Indeks Tenaga menokok 11.20 mata kepada 973.26, manakala Indeks Perladangan turun sebanyak 10.40 mata kepada 7,197.92.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.97 bilion unit bernilai RM3.18 bilion daripada 2.83 billon unit bernilai RM2.83 bilion.    

Jumlah dagangan waran turun kepada 1.17 bilion unit bernilai RM156.79 juta daripada 1.29 bilion unit bernilai RM168.58 juta sebelumnya.  

Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 983.16 juta saham bernilai RM258.99 juta daripada 1.20 bilion saham bernilai RM414.61 juta.  

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 404.76 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (495.21 juta), pembinaan (597.40 juta), teknologi (272.83 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (181.24 juta), hartanah (277.04 juta), perladangan (38.10 juta), REITs (16.08 juta), dana tertutup (71,300), tenaga (275.24 juta), penjagaan kesihatan (75.49 juta), telekomunikasi dan media (42.44 juta), pengangkutan dan logistik (202.63 juta), utiliti (86.06 juta) dan amanah perniagaan (1.12 juta).

-- BERNAMA 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan